Pilih Bahasa

Eylia, Vokal dan Persembahan terbaik Sugandoi Kaamatan KK

Oleh Alfred Petrus

Eylia (tengah) antara lima pemenang Sugandoi Kaamatan Bandaraya Kota Kinabalu yang akan berentap di penas negeri. – Gambar SNT/Ihsan DBKK

KOTA KINABALU: Eylia Eyre Guntabid antara 15 peserta akhir Sugandoi Kaamatan peringkat Bandaraya Kota Kinabalu dinobatkan Persembahan Terbaik dan Vokal Terbaik pada malam pertandingan itu, kelmarin.

Melalui kemenangan tersebut, beliau membawa pulang wang tunai sejumlah RM200 dan sijil bagi setiap anugerah berkenaan.

Selain itu, Eylia juga antara lima peserta yang diumumkan sebagai johan pertandingan untuk mewakili Dewan Undangan Negeri (Dun) Luyang pada pentas akhir Sugandoi Kaamatan peringkat Negeri pada tarikh yang akan ditentukan kelak.

Pesta Kaamatan Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu yang menggabungkan lima Dun termasuk kawasan Luyang itu turut mengumumkan empat johan lain bagi mewakili Dun Karambunai, Api-Api, Tanjung Aru dan Likas bersama-sama dengan Eylia.

Empat johan lain antaranya Nor Ain Awang Damit @ Hassan mewakili Dun Karambunai, Medkhatu Simpong (Api-Api), Mamat San Ambu (Tanjung Aru) dan Carl’s Evert Sayun (Likas).

Kelima-lima johan membawa pulang hadiah wang tunai sejumlah RM1,500, trofi dan sijil penyertaan.

Salah seorang peserta Sugandoi Kaamatan tersebut, Sunday Grace Justimus dinobatkan sebagai Penyanyi Popular dan membawa hadiah berupa wang tunai RM200 serta sijil.

Sementara itu, lima peserta lain mendapat naib johan yang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, trofi dan sijil.

Bagi lima peserta tempat ketiga pula membawa pulang hadiah RM500, trofi dan sijil. – SabahNewsToday