Pilih Bahasa

Faktor rakan sekutu PH, Warisan bukan punca kekalahan: Christina

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah, Datuk Christina Liew menepis dakwaan bahawa kekalahan Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis lalu disebabkan faktor rakan sekutu di antara dua pakatan tersebut.

Christina yang juga Timbalan Ketua Menteri turut menegaskan kegagalan di Kimanis itu juga tidak mengugat perpaduan di antara PH dan Warisan, malah mereka menerima keputusan tersebut dengan terbuka.

Christina beramah-mesra dengan sebahagian daripada media yang hadir dalam jamuan tengah hadir sempena Tahun Baharu Cina yang dihoskan olehnya di Hotel Promenade hari ini. Gambar SNT/Ihsan Kementerian Pelancongan

“Jika PH, Warisan dan Upko boleh bekerjasama, tiada siapa yang boleh mempengaruhi dengan menyatakan bahawa kami sebagai rakan sekutu tidak baik untuk satu sama lain.

“Saya fikir kami harus menuju ke arah yang betul bersama-sama sebagai sebuah kerajaan hari ini yang telah dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya umum lalu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Tengahari Bersama Media dan Pelancaran Logo Destinasi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) di sini, hari ini.

Christina berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan dalam kalangan penganalisis dan pengkritik di negeri ini bahawa kerjasama di antara PH dan Warisan menjadi penyumbang kepada kekalahan Warisan dalam PRK Parlimen Kimanis pada Sabtu lalu.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Keputusan PRK Kimanis menyaksikan Barisan Nasional mengekalkan kerusi Parlimen Kimanis apabila calonnya Datuk Mohamad Alamin menang dengan majoriti 2,029 undi menewaskan lawannya Datuk Karim Bujang daripada Warisan.

Mengulas mengenai komen Pengerusi Umno Sabah, Datuk Bung Mokhtar Radin bahawa BN akan mengambil semula tampuk pemerintahan negara pada PRU15, Christina berkata Ahli Parlimen Kinabatangan itu sememangnya seorang yang suka berjenaka.

“Beliau (Bung Moktar) seorang yang sangat kelakar dan suka berjenaka, tiada masalah kerana beliau seorang yang lucu,” ujar Christina lagi.

Mengenai insiden membabitkan Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo yang diserang sekumpulan lelaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, malam tadi, beliau menjelaskan kejadian itu adalah kes terpencil untuk menjejaskan reputasi negeri ini. – SabahNewsToday