Pilih Bahasa

FAM harus berkuasa penuh atas pembangunan bola sepak negara: Peter

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sepatutnya diberi kuasa penuh dalam pentadbiran dan pengendalian pembangunan sukan bola sepak di negara ini, kata pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) Datuk Peter Anthony.

Namun apa yang berlaku sekarang ialah berbagai masalah yang sebelum ini tidak pernah berlaku timbul sejak pembabitan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam FAM, ujarnya.

Peter menerima jersi daripada Hamidin selepas pertemuan mereka pagi tadi. Gambar SNT/Ihsan Safa

“Kalau kita mahu majukan bola sepak, bukan sahaja di Sabah, pengurusan perlulah diperbaiki dan yang paling penting perluya satu badan yang mempunyai kuasa khusus.

“Sebagai contoh kalau kita lihat liga bola sepak di negara kita, sejak MFL mengambil alih, begitu banyak masalah yang timbul termasuklah penguguran pasukan dan ada juga yang menarik diri.

“Saya percaya sekiranya perkara ini mendapat bimbingan FAM serta dibuat secara teratur, ianya mungkin boleh dilakukan,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin pagi tadi di sini.

Salah satu lagi “perkara yang tidak pernah berlaku sebelum ini” ialah kelewatan pemberian geran FAM kepada pasukan-pasukan yang selalunya diadakan pada awal tahun.

“Namun sekarang sudah hampir bulan Mei belum ada tanda-tanda selepas MFL ambil alih,” kata Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur.

Kelewatan MFL mengagihkan geran tahunan kepada ahli-ahli gabungan FAM mengakibatkan pembangunan bola sepak di negeri-negeri terbantut, katanya.

“Ini sesuatu yang tidak baik untuk pembangunan bola sepak kita, sekiranya kita ingin melahirkan lebih ramai pemain-pemain yang mampu menyumbang kepada negara, kita perlu penambahbaikan dari segi pengurusan,” katanya.

Beliau menambah sejak pembabitan MFL dalam FAM ini juga telah kenampakan ‘bibit-bibit’ perpecahan serta ketidakpuasan hati penaja-penaja utama sehingga ada yang mahu menarik diri.

“Kita kena ambil ini sebagai iktibar kerana jika ia berlarutan, sudah pasti masalah pembangunan bola sepak kita akan terjejas.

“Sudah tiba masanya FAM diberi kuasa mutlak seperti sebelum ini tanpa ada campurtangan kuasa eksekutif agar pelan pembangunan bola sepak negara lebih teratur dengan kerjasama semua ahli gabungannya di seluruh negeri.

“Apa yang saya nampak ketika ini adalah pertindihan kuasa dan kadang-kadang sekiranya pihak SAFA sendiri mahu menghantar surat, kami kurang jelas surat itu mahu ditujukan kepada siapa, sama ada MFL atau FAM,” katanya.

Dalam perkara lain, Peter berpendapat usaha harus dibuat bagi mempertingkatkan mutu pengadilan bola sepak negara.

“Rata-rata semua pasukan merungut akan mutu pengadil yang tidak baik dan ini juga antara lain penyebab utama yang mempengaruhi pembangunan sukan bola sepak negara daripada berkembang,” katanya.

Beliau cadangkan agar para pengadil didedahkan dengan lebih banyak perlawanan melalui penganjuran liga-liga kecil di peringkat negeri yang dianjurkan oleh persatuan bola sepak negeri berlandaskan piawaian FAM.

Mengenai pertemuan beliau dengan Hamidin, Peter berkata mereka sempat berbincang mengenai beberapa perkara berkenaan pembangunan bola sepak bukan sahaja di Sabah tetapi negara.