Pilih Bahasa

FAMA Keningau catat RM9.8 juta nilai jualan terkumpul pemasar

KENINGAU, 5 Jun (Bernama) — Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Keningau mencatatkan nilai jualan terkumpul pemasar di Kompleks Pasar Tani Kekal Tomu Ground Keningau (PTKTGK) berjumlah RM9.8 juta sepanjang tahun lepas.

Pegawai FAMA Keningau Abd Kassim Salim berkata jumlah itu mencatatkan peningkatan 9.8 peratus berbanding RM8.9 juta pada 2017.

Gambar Bernama

Katanya nilai terkumpul bulanan pemasar turut meningkat dari RM750,000 kepada RM850,000 sebulan.

“Angka ini satu peningkatan yang sangat agresif yang memperlihatkan aktiviti urus niaga di situ (Pasar Tani Kekal Tomu Ground Keningau) sangat aktif dan menjadi lokasi pemasaran hasil pertanian di daerah ini,” katanya kepada Bernama di sini.

Bangunan kompleks pasar tani yang diurus tadbir bersama FAMA dan Majlis Daerah Keningau (MDK) itu dibina pada September 2015 dengan kos RM2.9 juta yang mampu menampung seramai 528 peniaga pada satu masa.

Kassim berkata kompleks itu yang terletak 500 meter dari pusat bandar Keningau dibahagikan kepada lapan zon meliputi lokasi menjual ikan basah sehinggalah kepada makanan tradisional yang tidak terdapat di daerah lain di negeri Sabah.

Katanya peniaga di kompleks itu yang menjadi sebahagian mercu tanda daerah ini menjual pelbagai makanan eksotik, makanan hutan seperti ambarua (pucuk rotan saga).

Menurutnya premis ini merupakan pelabuhan darat kepada pemborong hasil tani terbesar antaranya sayur-sayuran dan buah-buahan di kawasan pedalaman yang beroperasi pada Khamis dan Ahad.

Kassim berkata kompleks itu turut menjadi lokasi strategik perniagaan beras padi bukit (huma) di samping laman tukar barang (barter trade) antara peniaga di kawasan pedalaman Sabah.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengiktiraf kompleks pasar tani Keningau ini sebagai yang terbaik seumpamanya di negara ini dan berada di tangga teratas antara 11 pasar tani di Sabah.

— BERNAMA