Pilih Bahasa

FAMA serah sumbangan RM49,084 kepada keluarga wira Op Daulat

Oleh Junaidi Ladjana

Zaini (tiga dari kanan) berbual bersama balu wira polis yang gugur semasa OP Daulat pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Waris OP Daulat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) hari ini menyampaikan sumbangan hasil kutipan tabung ‘Op Daulat’ untuk keluarga kepada lapan wira yang terkorban ketika Op Daulat bagi menghapuskan pengganas Sulu di pantai timur Sabah pada Mac 2013.

Pengarah FAMA Sabah, Ribin Wahid berkata sumbangan berjumlah RM49,084.35 yang dilaksanakan oleh FAMA itu dibuat di pasar tani seluruh negara yang membabitkan sebanyak 563 buah pasar tani pada 13 Mac 2013.

“Hasil kutipan ini bukan sahaja sumbangan daripada peserta pasar tani malah daripada pengunjung yang berkunjung ke pasar tani dengan bermurah hati melaksanakan tanggangjawab sosial diiringi semangat patriotik yang tinggi bagi memberikan sumbangan kepada waris perwira negara yang terkorban.

“Sumbangan ini merupakan tanda kasih dan penghargaan para peniaga dan pelanggan/pengunjung di pasar tani atas jasa dan pengorbanan mereka yang berjuang hingga gugur di medan perang ketika Op Daulat di pantai timur Sabah,” katanya.

Zaini (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada balu Allahyarham SM Baharin Hamit, Sumiati Suarah pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Waris OP Daulat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Penyerahan Sumbangan kepada waris Op Daulat di Auditorium Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini, hari ini.

Turut hadir di majlis berkenaan, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass.

Ribin berkata pihaknya ingin memohon maaf di atas kelewatan menyalurkan amanah ini kerana beberapa masalah teknikal yang terpakas dilalui sehingga berlaku kelewatan dan hanya dapat menyampaikan sumbangan berkenaan hari ini.

“Oleh itu saya berharap sumbangan ini juga dapat sedikit sebanyak membantu meringankan beban tanggungjawab ahli keluarga meneruskan kehidupan harian mereka,” katanya.

Zaini (kiri) menerima replika cek sumbangan daripada Ribin pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Waris OP Daulat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Sementara itu, Zaini berkata sumbangan berkenaan sangat bertepatan untuk membantu keluarga mangsa, terutamanya pada hujung tahun ini yang mana pelbagai perbelanjaan yang harus ditanggung oleh mereka.

“Walaupun sumbangan ini lewat… namun ada hikmah disebaliknya. Saya percaya sumbangan ini dapat membantu balu mangsa untuk perbelanjaan anak sekolah pada tahun hadapan. 

“Oleh itu, saya berharap akan ada lagi agensi lain yang berbesar hati untuk membantu mereka,” katanya.

Lapan anggota polis yang terkorban semasa insiden itu ialah Asisten Komisioner Ibrahim Lebar, Asisten Superitendan Zulkifli Mamat, Sarjan Mejar Sabaruddin Daud, Sarjan Mejar Baharin Hamit, Sarjan Mejar Abd Azis Sarikon, Koperal Mohd Azrul Tukiran, Sarjan Salam Togiran dan Deputi Superitendan Michael Padel. – SabahNewsToday