Pilih Bahasa

Felda sedia wujudkan pusat makanan gajah di Sabah

Oleh Nasrawati Syarifuddin

KALABAKAN: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bersedia membantu wujudkan pusat makanan bagi gajah di Sabah sebagai inisiatif elak hidupan terancam itu terus menjadikan ladang kelapa sawit di Felda Umas sebagai habitat mencari sumber makanan.

Pengarah Perladangan Felda, Izham Mustaffa berkata pihaknya akan berhubung dengan individu berkepentingan termasuk syarikat perladangan yang lain di kawasan sekitar Felda Umas untuk bersama dengan Felda menyediakan pusat pemuliharaan gajah di kawasan bersesuaian.

Izham Mustaffa. Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

Jelasnya keadaan ini mengakibatkan kerugian mencecah jutaan ringgit di setiap ladang kelapa sawit di Felda seluruh negara termasuk Felda Umas jika ia tidak diatasi segera.

“Konflik kita ini dengan gajah bermula bila tidak cukup makan, kawasan ladang kita ini adalah makanan kepada peneroka di samping itu kita berkongsi pula tempat makan bersama gajah, jadi wujud pertembungan di situ.

“Kalau boleh kita tidak mahu melihat pertembungan mencari tempat makan di kawasan sama, sebab itu kita kena ada proses untuk memindahkan gajah ke tempat yang lebih sesuai pada jangka masa secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui pada Program Penerangan Kepada Petugas Felda dan Ketua-Ketua Peneroka Wilayah Sahabat Berkenaan Kaedah Pengurusan dan Perlindungan Hidupan Liar di Dewan Felda Gugusan Umas, hari ini.

Jelasnya terdapat lebih 40 ekor gajah dewasa berada di kawasan sekitar ladang Felda Umas yang menjadikan ladang kelapa sawit sebagai kawasan mencari makanan.

Tambahnya terdapat juga gajah yang masuk ke perkampungan sehingga mengganggu gugat kehidupan penduduk.

“Kita pernah buat pemindahan gajah-gajah terbabit walaubagaimanapun gajah-gajah yang dipasang kolar dan ditanda kembali semula ke kawasan Felda Umas.

“Sebab itu kita kena berbincang dengan Jabatan Hidupan Liar (JHL) untuk mencari kaedah satu kawasan yang lebih tetap dan lebih terurus untuk gajah yang liar yang masih berlegar di kawasan Felda Umas,” jelasnya.

Izham dalam pada itu berkata Felda sentiasa komited dalam usaha mengawal gajah yang menjadi ancaman kepada ladang Felda melalui pelbagai kaedah dan kawalan tanpa melanggar akta dan undang-undang dalam negara.

“Kita di pihak pengurusan Felda sendiri memerlukan komitmen daripada semua sama ada warga peneroka, generasi peneroka, pihak pengurusan di rancangan dan FGV berserta pihak terlibat dengan pengawalan gajah untuk mencari kaedah penyelesaian secara bersepadu,” katanya.

Baru-baru ini bangkai seekor gajah Pygmy jantan dengan 70 kesan tembakan ditemukan di tepi Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan berhampiran kawasan Felda Umas.

Enam suspek telah ditahan kemudian lima dibebaskan atas ikat jamin polis sementara pihak berkuasa berkenaan menyiapkan kertas siasatan untuk proses pendakwaan di mahkamah.

Seorang lagi suspek, seorang warga asing, didakwa berada dalam negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah. –SabahNewsToday