Pilih Bahasa

Felix kembali dengan ‘Terbang’

KOTA KINABALU: Selepas lima tahun, naib juara Akademi Fantasia (AF) musim ketiga, Felix Agus, kini muncul dengan single terbaru yang bertajuk ‘Terbang’.

Single dan klip video lagu yang berentak ‘blues’ itu kini boleh didengar di stesen-stesen radio tempatan serta ditonton di laman Youtube bermula hari ini selepas pelancarannya, di sini, semalam.

Felix bersama Jun (kiri) dan Berry yang turut memainkan peranan penting dalam menghasilkan lagu ‘Terbang’. -Gambar SNT

Felix berkata lagu yang dihasilkan itu turut mendapat sentuhan daripada Berry Ferhan serta Jun sebagai penggubah lagu serta pemain muzik.

“Saya harap lagu ‘Terbang’ ini mampu memikat peminat-peminat muzik bukan saja di Sabah tetapi seluruh Malaysia dan negara-negara jiran.

“Pada mulanya saya hanya sasarkan peminat muzik di Sabah saja tetapi selepas mendapat sokongan dan dorongan daripada keluarga serta rakan-rakan, saya akan cuba tembuskan lagu ini di semenanjung (Malaysia) dan juga Indonesia,” katanya selepas melancarkan lagu berkenaan di Hard Rock Cafe, di sini, semalam.

Pelancaran single terbaru Felix itu disempurnakan Pembantu Menteri Kewangan yang juga Adun Inanam, Kenny Chua.

Kenny (kanan) menerima cendera kenangan daripada Felix sempena majlis pelancaran single ‘Terbang’ di Hard Rock Cafe, Kota Kinabalu, semalam.-Gambar SNT

Sementara itu penyanyi berasal dari Kota Belud yang pernah popular dengan lagu ‘Aku Pencintamu’ dan ‘Warkah Berlagu Pilu’ itu akui merindui saat-saat ketika masih aktif membuat persembahan di ibu negara suatu ketika dulu.

Bagaimanapun, katanya beliau tetap bersyukur dengan apa yang dilakukan sekarang termasuk menjadi penyampai stesen radio tempatan, VOK FM, di sini.

“Saya kini juga sudah berkeluarga selain mempunyai tugasan di sini (Kota Kinabalu), bagaimanapun, mudah-mudahan satu hari nanti saya akan kembali memeriahkan industri muzik Malaysia dan mudah-mudahan lagu ‘Terbang’ ini adalah perintisnya,” katanya.

Felix sebelum ini memulakan kariernya sebagai penyanyi di sebuah kelab di Lahad Datu seterusnya muncul juara Bintang Kaamatan 2003 di daerah berkenaan.

Beliau kemudian menghasilkan album dalam bahasa Dusun pada 2004 dan setahun selepas itu, Felix terpilih dalam program realiti Akademi Fantasia musim ke-3 serta muncul naib juara.

Pada 2006, Felix mengeluarkan album berbahasa melayu pertamanya yang bertajuk Aku Pencintamu dan selepas itu beliau hanya aktif berkarya dalam industri muzik tempatan -SabahNewsToday