Pilih Bahasa

Festival Buah-Buahan Sipitang 2019 pada 29 Ogos hingga 1 Sept

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Dr Yusof (empat dari kiri) bersama ahli jawatankuasa penganjuran Festival Buah-Buahan Sipitang 2019. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Usahawan tempatan khususnya peniaga buah-buahan di Sipitang diminta untuk mengambil peluang menjual hasil tanaman dan produk mereka sempena Festival Buah-Buahan Sipitang 2019 pada 29 Ogos hingga 1 September depan.

Menteri Pelajaran dan Inovasi negeri, Datuk Dr Yusof Yacob berkata festival itu dijangka dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bertempat di Padang Top Ten Sipitang pada 29 Ogos ini.

Menurut beliau para peniaga bukan sahaja boleh menjadikan program itu untuk mengaut keuntungan malah mampu mengelakkan lambakkan hasil buah-buahan yang belum terjual kepada para pengunjung di festival tersebut.

Dr Yusof (depan dua dari kanan) bersama ahli jawatankuasa penganjuran Festival Buah-Buahan Sipitang 2019 menunjukan poster acara tersebut. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

“Bila musim buah-buahan ini kalau pengurusan pasarannya tidak diatur dengan bijak akan menyebabkan penurunan harga mendadak atau jadi bahan longgokkan, tidak ada harga, justeru dengan program seperti ini orang ramai akan tahu musim buah tiba di Sipitang sekaligus membantu menstabilkan harga buah-buahan.

“Durian Sipitang kalau disebut semua orang kenal bahawa ia sedap dan lazat tidak puas memakannya, jadi inilah yang menyebabkan Sipitang terkenal dalam kalangan penggemar buah-buahan tropika terutama durian.

“Melalui penjualan produk-produk pertanian ini para peniaga tempatan boleh menilai kemampuan dalam bidang keusahawanan secara tidak langsung meningkatkan sosio ekonomi mereka dengan mengaktifkan diri dalam perniagaan,” katanya.

Dr Yusof (empat dari kiri) menyaksikan banner Festival Buah-Buahan Sipitang 2019 yang akan dipamerkan sebagai promosi acara itu. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

Beliau demikian dalam sidang media mengenai penganjuran Festival Buah-Buahan Sipitang 2019 di Wisma Bandaraya di sini hari ini.

Dr Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sindumin menambah bagi memeriahkan lagi acara berkenaan, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar bersetuju untuk membawa pelancong ke Sipitang sempena festival itu nanti.

Jelas beliau sebanyak 30 bas pelancong setiap hari akan membawa pelancong berkunjung ke Sipitang selama empat hari sepanjang festival itu berlangsung.

Katanya melalui pesta itu juga rakyat akan dapat bersama-sama memeriahkan dan menceriakan Sipitang sebagai tarikan destinasi pelancong tempatan dan luar negara selain membantu petani dan usahawan daerah berkenaan.

Dr Yusof (depan dua dari kanan) bersama ahli jawatankuasa penganjuran Festival Buah-Buahan Sipitang 2019 menunjukan poster acara tersebut. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

“Sipitang juga merupakan daerah yang sedang giat mempromosikan produk-produk pelancongan seperti sukan extreme, Stingless Bee Farm, memancing, rekreasi, inap desa dan resort.

“Dengan bantuan dan bimbingan daripada Lembaga Pelancongan Sabah (STB) kita sedang giat membangunkan Pelancongan Berasaskan Komuniti di beberapa kawasan seperti di Kampung Pelakat, Ulu Sipitang dan Solo,” katanya.

Di samping itu katanya Sipitang mempunyai litar tetap pertama di Borneo untuk peminat pacuan empat roda yang terletak di Kampung Katipoh, Mesapol dan kawasan memancing kolam ikan keli Afrika terbesar di Sabah. – SabahNewsToday