Pilih Bahasa

FESTIVAL FILEM ANTARABANGSA KOTA KINABALU KEMBALI BAGI EDISI KE 10

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Pengarah Festival Filem Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIFF) 2019, Jude Day (tiga dari kanan) dan Penaung KKIFF, Datuk Adeline Leong (lima dari kanan) pada sidang penganjuran festival berkenaan di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Festival Filem Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIFF) kembali tahun ini dengan memasuki penganjuran kali ke 10.

Berlangsung pada 7 sehingga 15 September hadapan, pembuat filem tempatan antarabangsa berpeluang menyertai beberapa aktiviti termasuklah pertandingan penghasilan filem, bengkel dan latihan perfileman.

Program dilaksanakan sempena KKIFF 2019 adalah pertandingan pembuatan filem PESTA10, tayangan Cinebalu, bengkel penghasilan filem, pembentangan karya dan malam anugerah KKIFF.

Pengarah KKIFF 2019, Jude Day berkata peserta pertandingan PESTA10 boleh menghasilkan filem pendek terdiri daripada empat kategori iaitu dokumentari, naratif, bahasa tempatan Hari Malaysia.

Jude berkata penyertaan bagi pertandingan itu terbuka kepada semua peserta di seluruh negara Asia dan perlu menghantar penyertaan sebelum 31 Julai 2019.

“Cinebalu pula adalah aktiviti tayangan filem baharu yang dibuat oleh penggiat seni filem seluruh Asia termasuklah filem animasi.

“Kita mengalukan penyertaan daripada semua genre filem dan tarikh akhir untuk mereka yang berminat menyertai pada 17 Mei hadapan.

“Selain itu, kita bakal mengadakan ceramah serta bengkel berkaitan filem bermula 8 hingga 15 September.

“Aktivit ini boleh memberi lebih banyak pendedahkan kepada pembuat filem mengenai pelbagai aspek mengenai perfileman yang secara tidk langsung mendorong penggiat seni menghasilkan lebih banyak karya bermutu,” katanya ketika sidang media KKIFF 2019, di sini, hari ini.

Jude berkata sesiapa berminat mahu mengikuti bengkel terbabit boleh membuat permohonan di laman sesawang www.kkiff.com sebelum tarikh tutup 31 Jun.

Dalam pada itu, Jude menyatakan pihaknya turut akan mengadakan Malam Anugerah KKIFF 2019 pada 15 September bagi memberi pengiktirafan kepada filem yang memasuki pertandingan sempena penganjuran festival filem terbabit.

Menurutnya, anugerah yang bakal disampaikan termasuklah Anugerah Emas Kinabalu dan Anugerah Perak Kinabalu untuk semua kategori pertandingan pembuatan filem PESTA10.

Sementara itu, beliau meminta semua penggiat filem supaya menyertai festival filem berkenaan dengan menghantar karya masing-masing selain memaklumkan tiada sebarang yuran penyertaan dikenakan kepada peserta. – SabahNews Today