Pilih Bahasa

Filem Lo Us angkat martabat warga emas OKU

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Farizie (empat dari kiri) bersama barisan pelakon yang menjayakan filem Lo Us di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Mengetengahkan orang kurang upaya (OKU) selaku pelakon utama bukanlah suatu perkara mudah namun kesukaran itu membuahkan hasil apabila karya Lo Us arahan Farizie Morinding diangkat memenangi Anugerah Emas Kinabalu bagi kategori Bahasa Orang Asal sempena Malam Anugerah Festival Filem Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIFF) 2019.

Ditemui media selepas acara selesai, Farizie berkata idea menghasilkan filem pendek itu tercetus sejak 10 tahun lalu sewaktu dirinya sedang melaksanakan pembikinan filem pertamanya bertajuk Odoi Odu.

“Pak cik Lo Us memainkan peranan pelakon tambahan ketika itu dan apabila sedang menunggu nenek bersiap, saya terpandang beliau dan terus berniat mahu menghasilkan sebuah filem pendek mengenainya.

“Walaupun beliau seorang OKU namun kita boleh lihat pak cik Lo Us ini memiliki perwatakkan yang baik, sopan santun dan menghormati orang lebih tua. Ia jua salah satu faktor mendorong saya menghasilkan filem ini.

“Selain itu filem ini juga impian serta permintaan arwah nenek yang baru sahaja meninggal dunia beberapa hari lalu. Saya pasti walaupun arwah tidak sempat melihat kejayaan filem ini namun beliau gembira kerana tahu saya sudah mewujudkan filem ini ketika arwah masih hidup,” katanya sebak.

Farizie menunjukkan trofi kemenangannya dalam kategori Bahasa Orang Asal menerusi filem Lo Us sempena KKIFF 2019 di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

Ditanya cabaran sepanjang menyiapkan filem Lo Us, Farizie berkata salah satu cabaran pastinya komunikasi kerana bukan suatu mudah untuk memberikan arahan kepada golongan warga emas OKU.

Beliau terpaksa mengambil masa agak lama serta banyak babak harus diulang beberapa kali demi memastikan mesej melalui lakonan itu sampai ke jiwa penonton yang menonton filem Lo Us.

Memiliki pendidikan Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan Penulisan Layar daripada Universiti Teknologi Malaysia (UITM) Shah Alam, Farizie berkata antara keunikkan filem keduanya itu adalah semua dialog yang dituturkan pelakon adalah spontan.

“Saya mahu semua pelakon selesa sepanjang bekerjasama. Oleh itu, saya mengambil keputusan tidak menghasilkan skrip malah mahu pelakon menuturkan dialog menerusi pergerakkan yang saya inginkan,” katanya.

Malam Anugerah KKIFF 2019 dirasmikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Assafal P Alian.

Farizie membawa pulang trofi serta wang tunai RM4,000 manakala Anugerah Perak Kinabalu bagi kategori sama diberikan kepada filem The Sea Gypsy of Semporna, arahan Clifford Ray yang turut menerima tropi dan wang tunai RM3,000. – SabahNews Today