Pilih Bahasa

Finas rancang pelbagai inisiatif bantu penggiat industri seni kreatif Sabah

Oleh Mohd Nazllie Zainul

PENAMPANG: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) merancang pelbagai inisiatif dalam usaha membantu penggiat industri seni kreatif di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata antara salah satu usaha adalah memberikan dana kepada golongan pengkarya filem atau drama di negeri berkenaan bagi memastikan mereka tidak terus rasa terpinggir di dalam industri seni tanah air.

Ahmad Idham memotong reben pada plak sebagai gimik pelancaran Perkampungan Filem Sabah (KDMFM) di Penampang, hari ini. Gambar SNT/ Ihsan Penerangan

Ahmad Idham berkata beberapa kriteria akan ditetapkan agar dapat memberi peluang kepada penggiat seni serta syarikat produksi berpusat di Sabah terus membangunkan pembangunan industri kreatif di negeri berkenaan.

Bagaimanapun, beliau menyatakan anggaran peruntukkan diberikan itu bergantung kepada kreativiti penggiat seni di negeri terbabit.

“Kita juga sudah mencadangkan beberapa buah filem untuk membuat penggambaran di Sabah tahun ini.

“Pelbagai inisiatif ini juga secara tidak langsung bakal mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan membabitkan kerja belakang tadbir dan hadapan kamera,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Perkampungan Filem Sabah (KDMFM) di Kampung Sukod, di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya turut melaksanakan sesi ‘pitching’ bermula hari ini bagi karyawan di terbabit.

Ahmad Idham berkata sebelum ini semua sesi pembentangan idea itu dilaksanakan di Kuala Lumpur namun Finas kini mengambil pendekatan untuk datang ke Sabah agar lebih memudahkan penggiat seni tempatan membentangkan idea masing-masing.

“Saya faham antara faktor penghalang golong seni di negeri ini untuk menghadiri sesi ‘pitching’ di Semenanjung adalah kos penerbangan dan tempat tinggal kerana semuanya ditanggung sendiri.

“Oleh itu, Finas sanggup datang ke Sabah disebabkan kita kini tidak mahu lagi mengambil langkah duduk dan lihat sahaja. Biar kita sendiri yang datang menghampiri golongan seni serta masyarakat.

“Begitu jua dengan penguatkuasaan dan perlesenan di sini, saya memberitahu pihak berkaitan bahawa kedatangan kita bukan untuk menghukum tapi membimbing mereka supaya mudah berkarya mengikut peraturan,” katanya. -SabahNews Today