Pilih Bahasa

Frankie Poon, Phong Jin Zhe dilantik Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat dan Menteri Belia dan Sukan baharu

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Datuk Frankie Poon Ming Fung dilantik sebagai Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah yang baharu.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pelantikan Frankie Poon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Menteri Belia dan Sukan ketika ini adalah bagi mengisi jawatan bekas mendiang Datuk Stephen Wong.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada sidang media di Sabah Air Aviation, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Kekosongan portfolio Menteri Belia dan Sukan Sabah pula akan diisi oleh Adun Luyang, Phoong Jin Zhe manakala Bendahari DAP Sabah, Loh Ee Eng pula akan mengangkat sumpah sebagai Adun dilantik.

“Mereka akan mengangkat sumpah pada Selasa depan,” katanya kepada sidang media di Sabah Air Aviation, Tanjung Aru di sini hari ini.

Dalam sidang media itu Mohd Shafie turut mengesahkan tiada rombakan Kabinet dilakukan kerana ia hanya bagi mengisi kekosongan jawatan menteri dan Adun dilantik.

Katanya beliau telah berbincang dengan kepimpinan DAP Pusat dan negeri mengenai keperluan dan pemilihan calon bagi mengisi kekosongan itu yang diwakili DAP dan PKR.

Bekas ahli Parlimen Sandakan Datuk Stephen Wong meninggal akibat serangan sakit jantung pada 28 Mac lalu.

Anak bongsu Stephen iaitu Vivian Wonf Shir Yee memenangi PRK Sandakan pada 11 Mei baru-baru ini dengan majoriti 11, 521 undi sekaligus mengekalkan kerusi DAP di kawasan itu.

Dalam pada itu ditanya mengenai sama ada kerajaan negeri akan memberikan bonus Aidilfitri kepada penjawat awam negeri, Mohd Shafie berkata pihaknya akan membincangkan perkara itu. – SabahNewsToday