Pilih Bahasa

Fun Run 50 Tahun SMK Sanzac 27 Julai ini

Sapri (kiri) Janis (tengah) Mariani (dua dari kanan) dan Mohd Othman (kanan) menunjukan poster dan peta laluan larian Sanzac Fun Run. – Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan

KOTA KINABALU, 18 Julai  – Sekolah Menengah Kebangsaan SANZAC (SMK SANZAC) pada asalnya dikenali sebagai ANZAC College yang dibina pada tahun 1969 atas usaha gabungan bekas perajurit Australia dan New Zealand (Australia, New Zealand Army Corps) atau lebih dikenali dengan nama ANZAC .

Pembinaan bangunan sekolah yang pada permulaannya  mempunyai tujuh bilik darjan ini dibina sebagai tanda penghargaan wujudnya hubungan erat antara rakyat Sabah dan anggota–anggota tentera ANZAC yang menjadi rakan seperjuangan semasa berlakunya perang Dunia Kedua.

Atas dasar tersebut sempena Sambutan 50 tahun penubuhan SMK SANZAC satu acar Larian Amal Jubli Emas akan diadakan pada 27 Julai ini.

Larian amal bersejarah yang buat julung kalinya diadakan itu merupakan anjuran bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK SANZAC, Kelab Alumni dan Unit Kokurikulum SMK SANZAC.

Janis semasa sesi promosi Sanzac Fub Run kepada media. – Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan

Yang dipertua PIBG SMK SANZAC, Janis Abdullah berkata program tersebut diadakan bertujuan untuk memberi peluang kepada masyarakat setempat terutama sekitar Bandaraya Kota Kinabalu untuk menderma sambil beriadah bagi menambah dana untuk membiayai aktiviti akademik, kokurikulum dan sahsiah murid agar lebih berdaya saing dalam meningkatkan lagi prestasi murid dan sekolah dari semua aspek pembelajaran mahupun kokurikulum.

“Hasil kutipan larian tersebut akan diserahkan kepada pihak sekolah untuk membiayai kemudahan sekolah terutama penambahbaikan fasiliti selain sumbangan insentif kepada pelajar yang mengharumkan nama sekolah dalam pelbagai pertandingan sama ada peringkat daerah, negeri mahupun kebangsaan,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sesi promosi SANZAC Fun Run, di Pejabat Am SMK SANZAC pada Rabu.

“Selain menambah dana, program larian ini juga diadakan bagi mewujudkan semangat perpaduan dan kemesraan serta mendekatkan jurang di antara para ibu bapa, pihak sekolah, pelajar dan masyarakat setempat kerana sejak kebelakangan ini terlalu banyak kes yang melibatkan salah faham antara pihak sekolah dan para ibu bapa sehinggakan meninggalkan persepsi negatif di kalangan masyarakat.

“Selain daripada itu larian ini juga diadakan bagi menyahut seruan kerajaan untuk mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersukan secara santai melalui 10 ribu langkah sehari,” tambahnya lagi.

Peta laluan larian Sanzac Fun Run. – Gambar SNT/Jabatan Penerangan

Larian yang berkonsepkan ‘Run for Fun, Healthy and Charity’, sejauh 5 kilometer ini akan bermula dan tamat di perkarangan pintu masuk SMK SANZAC bermula dari jam 7.00 pagi.

Menurut penyelaras SANZAC Fun Run, Sapri Lakim, setakat ini penyertaan daripada orang awam serta alumni adalah sangat memuaskan.

“Untuk makluman awal, setakat ini penyertaan daripada pihak luar telah mencecah hampir 400 orang dan anggaran kasar penyertaan dianggarkan lebih kurang 700 orang akan mengikuti larian ini nanti.

“Kepada yang berminat untuk menyertai larian bersejarah ini, pihak penganjur telah melanjutkan tarikh penyertaan sehingga 25 Julai ini,” katanya.

Maklumat lanjut dan borang penyertaan mengenai larian ini boleh diperoleh melalui laman Facebook : 50th Anniversary Sanzac Fun Run atau melalui aplikasi WhatsApp dengan menghubungi Nur Ibtisam (013-8635747), Katriani (016-8262653) dan Quek Lee Sin (016-5572346).

“Bagi orang awam dan alumni SANZAC yang berminat untuk menyertai program larian ini yuran penyertaan sebanyak RM60 akan dikenakan manakala RM50 bagi kakitangan dan pelajar SMK SANZAC.

“Setiap penyertaan yang lengkap akan menerima sehelai Baju-T Fun Run, medal, bib, sijil penyertaan dan insuran.

“Manakala bagi peserta yang berjaya menamatkan larian akan menerima satu tiket cabutan bertuah dan berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah antaranya tiket penerbangan, telefon pintar, pakej penginapan keluarga di Promenade Hotel, basikal, wang tunai, baucar makanan, barangan elektrik, hamper serta banyak lagi.

“Sempena sambutan Jubli Emas SMK SANZAC, selain daripada larian amal diadakan juga Karnival Kokurikulum di mana terdapat pelbagai sukan permainan akan dijalankan sepanjang hari tersebut.

Aktiviti sukan ini akan melibatkan para pelajar di samping persembahan kebudayaan, gerai-gerai jualan serta persembahan sketsa persejarahan SANZAC yang mengisahkan penubuhan SANZAC yang bermula dengan tiga buah negara iaitu Australia, New Zealand dan Sabah pada tahun 1969,” jelas Sapri

Sebagai sekolah yang mendapat pengiktirafan ‘The Kindness School’    (Sekolah Paling Baik Hati) peringkat Kebangsaan, SMK SANZAC juga mengadakan Pameran Inovasi Pendidikan (STEM) pada hari yang sama.

Pameran ini akan memaparkan semua kejayaan pelajar di setiap peringkat bermula daripada peringkat daerah hingga ke peringkat antarabangsa untuk tatapan umum.

Acara kemuncak Sambutan 50 Tahun SMK SANZAC ialah Majlis Makan Malam Amal yang akan dihadiri isteri Yang Dipertua Negeri, Toh Puan Dr Norlidah RM Jasni yang merupakan alumni SANZAC manakala Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datuk Dr Yusof Yacob akan merasmikan acara tersebut pada malam 20 Julai nanti di The Palace Hotel Kota Kinabalu.

Sebelum Majlis Makan Malam Amal tersebut, pada sebelah paginya satu Program Kerja Amal iaitu Gotong Royong Perdana 50 Tahun anjuran PIBG dan Alumni SMK SANZAC diadakan bagi mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih ceria, bersih dan harmoni yang mana ia dapat meningkatkan mutu pendidikan sekolah selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Hadir sama pada program promosi tersebut, Setiausaha Kehormat PIBG SANZAC, Mohd Othman Yunus serta Ahli jawatankuasa PIBG SANZAC, Mariani Manan. – SabahNewsToday/JaPen