Pilih Bahasa

Futsal Lelaki KKTM Rangkul Emas Karnival Sukan Kolej

Futsal Lelaki KKTM Rangkul Emas Karnival Sukan Kolej. Gambar SNT/Ehsan UMS

KOTA KINABALU: Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM) UMS muncul johan pertandingan futsal kategori lelaki Karnival Sukan Kolej (Karsukol) anjuran Pusat Sukan Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Bertempat di Arena Kompleks Sukan UMS, pasukan itu tampil dengan aksi memberangsangkan pada perlawanan akhir yang berlangsung sengit menyaksikan pasukan KKTM menang tipis dengan jaringan 1-0 menewaskan  Kolej Kediaman Excellent UMS.

Kapten pasukan KKTM, Norhisam Hashimudin berkata pencapaian itu adalah di luar jangkaan memandangkan persiapan yang terhad dan para pemain tidak berkesempatan untuk mengadakan latihan dalam satu pasukan sebelum pertandingan.

“Namun apa yang menjadi kunci kejayaan ini adalah kesemua pemain mempunyai semangat juang yang tinggi dan saling mencipta persefahaman antara satu sama lain sepanjang perlawanan yang dilalui,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Menurut beliau, pasukan KKTM juga beruntung kerana dibarisi beberapa pemain yang berpengalaman dalam bermain futsal di peringkat kejohanan yang lebih besar.

“Kita bercadang untuk menyertai beberapa lagi kejohanan pada masa akan datang dan menyasarkan lebih banyak kejayaan,” tambah Norhisam lagi.

Untuk rekod, Karsukol merupakan acara sukan tahunan bagi kolej-kolej kediaman di UMS yang melibatkan pelbagai jenis sukan termasuk futsal.-SabahNewsToday/UMS