Pilih Bahasa

GABUNGAN BERSATU SABAH (GBS) KINI RASMI, BN BERKUBUR DI SABAH

Oleh Chris Maskilone

Duduk dari kiri; Masidi, Anifah, Hajiji, Pairin, Dr Jeffrey, Dr Maximus dan Richard bersama-sama dengan wakil-wakil rakyat lain semasa pengumuman rasmi penubuhan GBS hari ini. Gambar SNT/Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Penubuhan Gabungan Bersatu Sabah (GBS) diumumkan secara rasmi hari ini, sekaligus menandakan berakhirnya kewujudan Barisan Nasional (BN) di Sabah.

Pengerusi sementara GBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan turut mengumumkan keanggotaan GBS termasuk empat parti politik – Parti Bersatu Sabah (PBS), Umno Sabah, Parti Solidariti Tanah Airku (Star Sabah) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) – beserta beberapa wakil rakyat bebas.

GBS mempunyai 21 Ahli Dewan Undangan Negeri dan 10 Ahli Parlimen.

Logo rasmi Gabungan Bersatu Sabah. Gambar Fail SNT

Menurut Pairin, kesemua ketua parti iaitu Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, timbalan presiden PBS yang menjalankan tugas presiden, Datuk Seri Hajiji Noor, pengerusi Umno Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, ketua Star Sabah dan Tan Sri Joseph Kurup, presiden PBRS serta Datuk Seri Anifah Aman buat permulaan ini telah dilantik sebagai timbalan pengerusi.

Menurutnya, ADUN Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun akan memegang jawatan Setiausaha Agung; manakala Datuk Seri Salleh Said Keruak sebagai Bendahari dan ADUN Kiulu Datuk Joniston Bangkuai sebagai Ketua Penerangan.

Manakala itu kesemua Ahli Parlimen dan ADUN adalah secara automatik menjadi Ahli Jawatankuasa GBS, kata Pairin dalam sidang akhbar sempena pengumuman rasmi penubuhan GBS di Hotel Le Meridien hari ini.

Pairin (tiga dari kanan) dan pemimpin GBS selepas pengumuman rasmi penubuhan GBS hari ini. Gambar SNT/ Chris Maskilone

Pada fasa akan datang, kesemua pimpinan GBS telah bersetuju bahawa Pairin dan bekas Ketua BN Sabah, Tan Sri Musa Aman akan memberi panduan kepada mereka sebagai Penasihat manakala kesemua ketua parti akan dilantik sebagai pengerusi bersama.

“Apa yang penting adalah di dalam GBS semua parti adalah sama rata,” katanya.

Menurut Pairin, penubuhan GBS tercetus berikutan keputusan Pilihanraya Umun ke-14 dan insiden-insiden susulan.

“Menyedari nadi rakyat yang dahagakan perpaduan dan kekuatan politik di kalangan parti-parti politik di Sabah, kami telah berbincang dan bersetuju untuk menubuhkan GBS untuk menggantikan rejim politik lama,” katanya.

“GBS bersedia untuk mengambil alih dari tampuk kerajaan sedia ada yang sehingga ke hari ini belum disahkan statusnya, dan GBS akan memastikan Malaysia dan Sabah kekal harmoni dan bersatu, disamping meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi negeri dan mewujudkan sebuah masyarakat yang adil dan saksama,” kata Pairin.

Beliau mendakwa selepas lima bulan ‘berkuasa’, Kerajaan Negeri pimpinan Parti Warisan bukan sahaja gagal menjalankan kerja seperti yang diamanatkan oleh rakyat, tetapi juga memperlihatkan kelemahan mereka.

“GBS akan berkerja keras untuk memperbaiki keadaan kucar-kacir ini apabila kami mengambil alih tampuk pemerintahan kelak. Kami juga bersedia untuk menghadapi mereka dan memenangi pilihanraya umum pada bila masa.

GBS juga akan memberikan kerjasama penuh kepada Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan demi kesejahteraan Malaysia Baharu dan Sabah, katanya.

Mengulas lanjut, Pairin berkata kenyataan GBS akan memberi kerjasama penuh kepada Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan adalah sama seperti semasa Kerajaan PBS dahulu yang berada dalam pembangkang tetapi masih berkerjasama dengan Kerajaan Persekutuan pada ketika itu di bawah BN.

“Kita tekankan bahawa kita akan berkerjasama dengan siapa sahaja yang menjadi Kerajaan Persekutuan kerana kita berada dalam sistem persekutuan,” katanya.

“Kami menjemput dan merayu semua rakyat tulin negara Malaysia di Negeri Sabah untuk mendokong dan menyertai perjuangan murni ini demi menyelamatkan Sabah dan memperjuangkan kemajuan, keselamatan, integriti wilayah serta kemakmuran Negeri Sabah yang tercinta,” katanya.

Hajiji dan Masidi menyatakan Umno Sabah telah mendapat autonomi penuh daripada Umno pusat untuk mengambil apa sahaja tindakan difikirkan untuk kebaikan rakyat.

“Kita akan seberang sungai itu apabila kita sampai di jambatan,” kata Masidi apabila ditanya tindakan yang akan diambil sekiranya terdapat perbezaan kepentingan antara Umno Sabah dengan Umno pusat kelak.

“Pertama, tujuan kita adalah untuk membentuk kerajaan dan kedua kita harus ingat politik itu dinamik. Kita tidak dapat meramal apa akan berlaku di masa akan datang tetapi kita berada di sini untuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan masa akan datang,” tambah Masidi.

Manakala, Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman yang telah keluar dari Umno berkata beliau akan melihat sekiranya ada keperluan menubuhkan parti baharu.

“Namun apa yang jelas, perjuangan utama saya adalah untuk apa yang terbaik bagi rakyat dan negeri Sabah dan sekiranya perlu saya akan tubuh sebuah parti baharu,” katanya.

Selain daripada Anifah, dua lagi wakil rakyat bebas turut bersama dalam GBS adalah ADUN Nabawan Datuk Bobbey Suan yang telah keluar dari Upko dan ADUN Sukau Datuk Saddi Rahman yang telah meninggalkan Umno.

Antara wakil rakyat lain yang hadir semasa pengumuman rasmi penubuhan GBS adalah, Datuk Jahid Jahim (Tamparuli), Datuk Japlin Akim (Usukan), Datuk Musbah Jamli (Tempasuk), Datuk Anita Baranting (Tandek), Julita Mojungki (Matunggong), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas), Datuk Ellron Angin (Sook) dan Robert Tawik (Bingkor).

Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup dan Timbalan Presiden, Arthur Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan tidak hadir dan diwakili oleh setiausaha agung, Richard Kastum.-SabahNewsToday