Pilih Bahasa

‘GADIS ARNAB’ TINGGAL DALAM KERETA USANG DICEKUP AADK

Oleh Mohd Adam Arinin

Aleyo, semasa berada didalam sebuah kereta usang yang dijadikan tempat tinggal di kampung Sembulan Lama. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Remaja perempuan berusia 18 tahun yang “menetap” dalam sebuah kereta usang sejak setahun lepas di perkampungan Sembulan Lama di sini adalah antara suspek dicekup Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) semalam.

Remaja itu yang dikenali hanya sebagai Aleyo mendakwa telah tinggal didalam kereta itu sejak setahun lepas akibat permasalahan keluarga.

Ketika diserbu dalam Op Cegah Siri 3/2019 AADK Kota Kinabalu itu, Aleyo sedang tidur bersama dengan arnab peliharaannya dalam kenderaan terbabit dalam keadaan pintu dan cermin kereta yang tertutup rapat.

“Jangan pisahkan kami. Apa salah aku? Sumpah saya tidak hisap ‘batu’!”

Anggota AlphaSTRIKE AADK Sabah membawa suspek, Aleyo, selepas enggan keluar dari ‘tempat tinggal’ suspek di Kampung Sembulan Lama. Kelihatan arnab peliharaannya turut dibawa bersama ketika ditahan. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Demikian rayuan Aleyo dalam keadaan terkejut dan penguatkuasa AADK terpaksa mengambil masa yang lama untuk memujuk suspek keluar yang bertegas enggan keluar dan meminta tidak dipisahkan dengan haiwan peliharaannya.

Setelah dipujuk hampir 10 minit, suspek akhirnya akur dengan arahan penguatkuasa AADK untuk keluar dari kereta tersebut dengan membawa arnabnya.

“Saya mempunyai masalah keluarga dan saya tidak menyambung persekolahan saya sejak dari tingkatan dua. Dari saat itu, saya diabaikan keluarga dan memilih untuk ‘menumpang’ dalam bengkel kenalan saya.

Penguatkuasa AADK menahan seorang suspek penagih dadah semasa Ops Cegah Siri 3/2019 dijalankan di Kampung Kalansanan, Inanam. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Dia memberikan saya tempat tinggal didalam kereta usang itu yang terletak di bawah rumahnya.

“Sejak dari itu, rakan saya sering kali menjadikan ‘tempat tinggal’ saya itu sebagai ‘port’ untuk mereka menjalankan aktiviti menghisap dadah tapi sumpah saya tidak ambil,” katanya selepas ditahan.

Aleyo mendakwa hanya duduk dalam kereta usang itu ketika rakannya yang lain melepaskan gian.

Penguatkuasa AADK menahan salah seorang suspek penagih dadah semasa Ops Cegah Siri 3/2019 dijalankan di Kampung Kalansanan, Inanam. Turut kelihatan Ketua Operasi AADK Sabah, Erwan Roslan (tengah). Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Dia turut mendakwa mempunyai masalah untuk berdiri dan berjalan akibat pernah terlibat dalam kemalangan jalanraya beberapa bulan lepas.

“Sebab itu saya sukar untuk berganjak dari dalam kereta ketika diarahkan keluar. Kaki saya sakit,” tambahnya.

Bagaimanapun, Ketua Operasi Op Cegah AADK Sabah Erwan Roslan berkata hasil keputusan ujian saringan awal air kencing yang dibuat keatas suspek berkenaan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine atau syabu.

Salah seorang suspek penagih dadah yang berjaya meloloskan diri dari lantai rumahnya di perkampungan atas air Kampung Kalansanan, Inanam. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Walaupun suspek mendakwa tidak mengambil bahan terlarang itu, pihak AADK yakin suspek ada mengambil dadah berikutan keputusan saringan air kencing yang positif.

“Bagaimanapun, kita terpaksa menyerahkan suspek kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya berikutan suspek tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan ketika ditanya apa nombor kad pengenalan diri suspek, dia tidak tahu.

Malah, suspek tidak pasti umurnya berapa ketika dokumentasi dijalankan,” jelas beliau yang mengetuai operasi pencegahan yang bermula 9 malam dan berakhir lima jam kemudian.

AADK membuat serbuan di tujuh lokasi sekitar Kota Kinabalu dan Putatan.

Seramai 19 individu ditahan dan dibawa ke pejabat AADK Kota Kinabalu untuk proses dokumentasi serta ujian saringan awal air kencing.

“Pada mulanya kita menahan seramai 15 individu yang positif dadah. Namun seramai tiga individu termasuk remaja wanita terbabit diserahkan kepada pihak polis kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.” katanya.

Tambah Erwan, kesemua 12 individu yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 (Rawatan dan Pemulihan).

Operasi oleh pasukan khas AADK Sabah, Alpha Strike itu dijalankan di Kampung Sembulan, Tanjung Aru, Rampayan Manggatal, Kampung Kalansanan Inanam dan tiga kawasan perumahan termasuk di Putatan. -SabahNewsToday