Pilih Bahasa

Gajah mati dipercayai akibat keracunan

Oleh Junaidi Ladjana

Gambar SNT/Ihsan JHLS

KINABATANGAN: Gajah Pygmy Borneo yang ditemui mati di sebuah ladang di Sukau, di sini semalam dipercayai akibat keracunan.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS), Augustine Tuuga berkata hasil bedah siasat yang dilakukan mendapati gajah itu tiada kesan cedera luaran ataupun kesan peluru.

“Organ seperti jantung, paru-paru, hati, limpa dan buah pinggang gajah itu dilaporkan mengalami ‘severe congestion’.

“Haiwan ini dipercayai keracunan lalu menyebabkan kegagalan organ sehingga membawa kepada kematian,” katanya dalam satu kenyataan media.

Augustine berkata, siasatan mendapati jantina gajah itu adalah betina dan diberikan nama sebagai ‘Girang’ yang dipasang kolar satelit di bahagian lehernya.

“Haiwan itu ditemui di dalam parit oleh seorang pekerja ladang pada pukul 5.50 pagi lalu memaklumkan kepada pengurus ladang sebelum melaporkan kepada pihak JHLS.

“Berikutan itu sepasukan anggota JHL Sabah bersama agensi lain dihantar ke lokasi kejadian untuk siasatan dan didapati gajah itu dipercayai mati sejak 14 November,” katanya.

Tambah beliau lagi, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan berhubung kejadian ini untuk tindakan lanjut.

Katanya, siasatan diteruskan mengikut Seksyen 37 Enakmen Perlindungan Hidupan Liar 1997.

Penemuan terbaru itu semalam, meningkatkan rekod kematian gajah di Sabah untuk tahun ini sebanyak 23 ekor.

Sebelum ini, seekor gajah turut ditemui mati di Beluran dan seekor bangkai gajah pula di Tawau dan pada awal November lalu, seekor bangkai gajah ditemui terapung di Sungai Kinabatangan.  – SabahNewsToday