Pilih Bahasa

Galak golongan pelajar asah bakat dalam bidang perfileman dan lakonan

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Yusof (tengah) bersama semua pemenang pada Majlis Anugerah Sabah Screen Fest (SSF) 2019 di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Golongan pelajar di negeri ini sentiasa digalak mengasah bakat dalam bidang lakonan serta perfileman bagi melahirkan lebih ramai pelapis industri berkenaan.

Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datuk Dr Yusof Yacob berkata perfileman mahupun lakonan kini semakin berkembang dan dilihat mempunyai peluang untuk mengembangkan bakat sekiranya dilakukan secara komited.

Yusof berkata melihat statistik nilai industri perfileman dunia tahun lalu menunjukkan bidang terbabit berjaya mengutip keuntungan sebanyak RM600 bilion sama ada melalui pawagam atau siaran melalui televisyen.

Yusof (lima dari kiri) bersama tetamu kenamaan lain pada Majlis Anugerah Sabah Screen Fest (SSF) 2019 di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

“Menerusi statistik ini, kementerian melihat perfileman adalah salah satu halatuju bagi pelajar-pelajar kita memasuki industri ini.

“Oleh itu, kita menggalakkan pelajar  mengambil bahagian dalam pelbagai program berkaitan perfileman yang dianjurkan di negeri ini agar dapat mengasahkan bakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Sabah Screen Fest (SSF) 2019, di sini semalam.

Memasuki penganjuran kali keenam, SSF 2019  menyaksikan lebih 200 penyertaan membabitkan tujuh kategori utama.

Antara kategori dipertandingkan termasuklah kategori terbuka iklan, dokumenteri dan filem pendek.

Yusof (tiga dari kanan) menyampaikan anugerah bagi salah satu kategori pada Majlis Anugerah Sabah Screen Fest (SSF) 2019 di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

Turut disampaikan anugerah pelakon lelaki dan wanita terbaik bagi kategori sekolah rendah serta menengah.

Berlangsung selama tiga hari bermula 6 hingga 8 November, turut diadakan bengkel lakonan bersama pelakon terkenal, Fauziah Ahmad Daud.

Bengkel terbabit memberi tunjuk ajar asas berkaitan latihan aksi, reaksi, breaking the wall dan praktikal.

Sementara itu, Yusof berkata penganjuran program seumpama itu dilihat sebagai pendedahan awal selain memberi peluang dan ruang generasimuda terlibat dalam bidang kreatif dengan memaparkan hasil karya masing-masing menerusi pembikinan filem pendek, dokumenteri dan iklan. – SabahNews Today