Pilih Bahasa

Galak golongan pelajar terus kembangkan bakat seni tari

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Norliza (belakang, tengah) merakamkan gambar kenangan bersama pemenang ‘Dance World Cup’ 2019 pada majlis penyampaian sijil penghargaan kepada pemenang di Auditorium JKKN Negeri Sabah, Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) akan terus komited mengetengahkan pelajar di negeri ini dalam usaha mengembangkan bakat seni tari golongan terbabit.

Ketua Pengarah JKKN, Tan Sri Norliza Rofli berkata pelajar sekolah rendah mahupun menengah di negeri berkenaan dilihat memiliki bakat seni tari yang boleh terus digilap sehingga ke peringkat antarabangsa.

Norliza berkata pihaknya sudah mengadakan pelbagai inisiatif termasuklah melalui Program Bimbingan Seni Budaya (PBSB).

Norliza (tengah) menyampaikan Sijil Penghargaan kepada pemenang Pingat Emas ‘Dance World Cup’ 2019, Muhammad Fakhrul Afif pada Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Pemenang ‘Dance World Cup’ 2019 di Auditorium JKKN Negeri Sabah, Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Menurutnya, program berkenaan memberi pendedahan awal mengenai bidang seni seperti tarian, teater, muzik dan bahasa sekaligus mampu menanam minat dalam diri.

“Setakat ini, sebanyak 10 sekolah melibatkan 250 orang pelajar dan 10 jurulatih terbabit dalam program berkenaan bagi tahun ini.

“Antara sekolah ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Balung, SK Pekan Telipok, SK Kawang, SK Kepayan dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Ria Tuaran,” katanya.

Norliza (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada jurulatih pasukan pada Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Pemenang ‘Dance World Cup’ 2019 di Auditorium JKKN Negeri Sabah, Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan Dance World Cup, di sini hari ini.

Seramai 30 pelajar mewakili negara ke Pertandingan Dance World Cup 2019 di Braga, Portugal yang berlangsung bermula 28 Jun sehingga 6 Julai lalu.

Menerusi pertandingan itu, Malaysia memenangi empat pingat emas, satu perak dan empat gangsa. – SabahNews Today