Pilih Bahasa

Galak graduan seni kreatif buka syarikat penerbitan

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Graduan seni kreatif di negeri ini diminta mengambil inisiatif membuka syarikat penerbitan dalam usaha mengembangkan bidang perfileman Sabah.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah merangkap Ketua Bahagian merangkap Ketua Bahagian Sipitang, Datuk Dr Yusof Yacob berkata graduan digesa tidak hanya mengharapkan kerja secara ‘makan gaji’ sahaja malahan boleh membuka perniagaan sendiri dalam bidang berkenaan.

Yusof (kanan) menyampaikan sijil kepada salah seorang graduan sempena Majlis Graduasi SAC3 di Kota Kinabalu. Gambar SNT/ Ihsan Penerangan-

Yusof berkata ia bukan sahaja boleh mengangkat martabat industri seni kreatif tempatan Sabah ke peringkat tertinggi malahan membuka banyak peluang pekerjaan bagi anak tempat dalam bidang terbabit.

“Kita sedar peluang pekerjaan berkaitan industri kreatif di negeri ini masih kurang dan hal ini juga antara punca ramai golongan muda graduan bidang berkaitan lebih gemar mencari pekerja di luar Sabah.

Dr Yusof Yacob. Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan

“Saya berpendapat adalah lebih baik sekiranya golongan graduan ini bekerjasama untuk membuka syarikat penerbitan yang boleh menghasil filem, drama atau animasi berlatar belakangkan Sabah.

“Negeri ini mempunyai sumber alam semula jadi indah termasuklah hutan, sungai, pulau dan tempat menarik yang boleh diketengahkan sebagai karja seni,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Graduasi Sabah Animation Creative Content Centre (SAC3), dekat sini, hari ini.

Seramai 108 graduan membabitkan empat bidang seperti Sijil Artis Multimedia Animasi, Sijil Artis Multimedia Visual, Produksi Filem (penggambaran) serta Perantis dan Perantis Lanjutan menerima penganugerahan sijil dalam majlis graduasi yang berlangsung di auditorium Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Sabah.

Yusof (dua dari kanan) menyampaikan sijil kepada salah seorang graduan sempena Majlis Graduasi SAC3 di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Ihsan Penerangan-

Sementara itu, Yusof berkata pihaknya mempunyai perancangan jangka masa panjang untuk menjadikan bidang animasi serta industri kreatif sebagai salah satu komponen penting dalamm bidang pendidikan di negeri terbabit.

Beliau berkata bagaimanapun pelbagai perkara harus diambil kira dalam merealisasikan rancangan itu termasuklah mengenalpasti tapak, menyediakan fasiliti  terbaik, kemudahan jalan raya dan sistem perhubungan digital.

“Kita juga sudah mengumumkan hub pendidikan baharu di kawasan Papar, Beaufort serta Kuala Penyu. Oleh itu, pendekatan pertama adalah melengkapkan kemudahan infrasktur terlebih dahulu agar mampu membina pertumbuhan pelbagai sektor termasuklah industri pendidikan, pelancongan dan perindustrian.

“Ia juga harap dapat memberikan keselesaan kepada pelabur yang mahu melabur di negeri ini,” katanya. -SabahNews Today