Pilih Bahasa

GBS dan GPS akan mengadakan pertemuan secepat mungkin: Maximus

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Pairin (tengah), Maximus (lima dari kiri) dan Hajiji (empat dari kiri) disertai beberapa pemimpin parti itu termasuk Adun dari Star, PBRS dan bebas dalam upacara mengaul Yee Sang sempena majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran PBS. – Gambar SNT / Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Gabungan Bersatu Sabah (GBS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus memainkan peranan dalam menyuarakan serta melindungi kepentingan dan hak rakyat di kedua buah negeri itu seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBS) Datuk Dr Maximus Ongkili berkata rakyat Sabah dan Sarawak berhak mendapat hak-hak keistimewaan mereka dalam kerajaan Persekutuan.

“Kami sentiasa berhubung dan bertukar-tukar pandangan. Kerjasama kedua pihak masih kukuh dan kita yakin bahawa kerajaan Sarawak juga mahu melindungi hak rakyat negeri itu.

Maximus (tengah) bercakap kepada pemberita sempena Majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran PBS di Dewan Hakka, Likas. – Gambar SNT / Sitti Nor Azizah Talata

“Kami berharap dapat mengadakan pertemuan segera dengan mereka (GPS) dan membincangkan bagaimana bentuk kerjasama serta untuk kita melindungi apa yang telah dijanjikan dalam MA63.

“Saya fikir pertemuan itu merupakan satu-satunya cara terbaik kedua negeri untuk bekerjasama,” katanya kepada kepada pemberita ketika ditemui semasa menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Parti Bersatu Sabah (PBS) di Dewan Hakka, Likas di sini hari ini.

Program itu turut dihadiri tiga Timbalan Presiden iaitu Datuk Radin Maleh, Senator Datuk Jamilah Sulaiman dan Datuk Dr Yee Moh Chai dan Penasihat Utama PBS yang juga bekas Presiden, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas perkembangan kerjasama di antara GBS dan GPS ketika ini.

Dalam pada itu Maximus yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu berkata walaupun gabungan di bawah GBS belum secara formalitinya tetapi apa juga yang baik untuk negeri dan rakyat Sabah akan terus diperjuangkan bersama Parti Solidariti Tanahairku Sabah (Star) dan Parti Bersatu Raktat Sabah (PBRS) serta Adun bebas.

“Kami masih belum berdaftar kerana menunggu status bekas pemimpin Umno tetapi dari reaksi di peringkat akar umbi, mantan pemimpin dan ahli Umno akan sentiasa menjadi rakan kongsi kami.

“Ini kerana kami mempunyai kekuatan di peringkat akar umbi tambahan pula PBS adalah parti berbilang kaum. Apabila kita bergabung, kita sudah bersedia untuk menghadapi Warisan,” katanya. – SabahNewsToday