Pilih Bahasa

Gelanggang bola keranjang pelbagai guna dibina di Pulau Mabul: Syed Saddiq

Oleh Nasrawati Syarifuddin

SEMPORNA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan membangunkan gelanggang bola keranjang dan gelanggang pelbagai guna untuk masyarakat khususnya golongan muda di perkampungan Pulau Mabul.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pembinaan gelanggang itu dapat membantu anak muda di kawasan itu menjalankan aktiviti sukan dan beriadah pada waktu malam.

Syed Saddiq bergambar bersama peserta pertandingan bola tampar. Gambar SNT / Ihsan KBS

“Selain beriadah pada waktu malam, kita juga mahu menggalakkan anak muda di pulau ini untuk melakukan aktiviti sihat sekaligus menggelakkan diri mereka daripada melakukan perkara yang tidak bermanfaat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata pembabitan kumpulan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dalam sukan juga perlu diambil perhatian dengan cara memberi mereka ruang bertanding diperingkat yang lebih tinggi.

“Inisiatif program sukan luar bandar yang menjadi keutamaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ini memberi peluang seluasnya kepada rakyat dalam kumpulan B40 bersaing untuk terlibat dalam aktiviti sukan seterusnya menyertai pertandingan di peringkat yang lebih tinggi, “katanya.

Satu lagi pasukan pertandingan bola tampar merakamkan kenangan bersama Syed Saddiq. Gambar SNT/Ihsan KBS

Syed Saddiq sempat meluangkan masa melawat sekitar Kampung Pulau Mabul untuk melihat sendiri aktiviti-aktiviti anak muda selain melihat keperluan kemudahan yang diperlukan masyarakat di kampung itu, semalam.

Pelbagai aktiviti sukan diadakan ketika lawatan beliau bersama komuniti tempatan. Antaranya pertandingan bola sepak pantai, bola tampar pantai dan bola keranjang.

Turut hadir dalam program itu Ketua Setiausaha KBS, Dr. Waitchalla RRV Suppiah, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Datuk Hatipah Ibrahim. -SabahNewsToday