Pilih Bahasa

Generasi muda diminta sokong usaha pulihara warisan Pesta Kaamatan

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kerajaan berharap generasi muda dapat bersama-sama menyokong usaha kerajaan dalam memelihara dan meraikan keunikan serta kepelbagaian warisan budaya tradsi seperti Pesta Kaamatan.

Pembantu Menteri Kewangan, Kenny Chua percaya kemeriahan dan keunikan Pesta Kaamatan yang dirayakan sepanjang Mei ini juga mampu menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negeri untuk berkunjung ke Sabah.

Kenny (empat kiri) memalu gong sebanyak tujuh kali sebagai gimik pelancaran Pesta Kaamatan Bandaraya Kota Kinabalu. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Ini sudah tentunya dapat mengembangkan dan memajukan sektor pelancongan serta perniagaan, perhotelan sekali gus menjana ekonomi negeri.

“Di samping itu, saya juga melihat gerai-gerai jualan dibuka sepanjang Jalan Gaya yang sedikit sebanyak membantu memasarkan makanan, minuman dan kraftangan tempatan serta menambah pendapatan masyarakat setempat.

“Saya juga dimaklumkan ada persembahan kebudayaan di Jalan Gaya yang mana sudah pasti dapat mengetengahkan pelbagai kebudayaan muzik dan seni tari tradisi kaum Kadazandusunmurut (KDM) yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Kaamatan dan Pertandingan Akhir Sugandoi Bandaraya Kota Kinabalu di Lintasan Deasokas, hari ini.

Beliau yakin dengan adanya kerjasama, penglibatan dan kehadiran rakyat dalam menjayakan Pesta Kaamatan itu.

Katanya jelas membuktikan kesedaran dan sokongan padu rakyat terhadap usaha berterusan kerajaan dalam mengukuhkan perpaduan serta memelihara dan memertabatkan lagi kebudayaan, adat dan tradisi. -SabahNewsToday