Pilih Bahasa

Geng peti besi tumpas, polis selesai 10 kes

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas (tengah) dan Timbalannya Nor Azizulkifli Mansor (dua dari kiri) menunjukkan gambar seorang lagi suspek yang sedang giat diburu dipercayai ketua sindiket pecah rumah. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Polis berjaya menyelesaikan 10 kes pecah rumah peti besi dan sarang burung di sekitar pantai timur Sabah sepanjang tahun ini dengan kerugian mencecah lebih RM100,000 selepas menahan lapan lelaki Geng peti besi menerusi Operasi Pintu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata bertindak atas maklumat pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun disyaki terbabit kes pecah rumah di sebuah bilik, Cowie Industrial Estate Batu 3 1/2 Jalan Apas, 2 Oktober lalu, kira-kira pukul 8 petang.

Beliau berkata hasil soal siasat terhadap suspek, pihaknya berjaya menahan tujuh lagi rakannya terdiri daripada enam lelaki tempatan dan seorang warga Indonesia berusia 19 hingga 40 tahun disyaki terbabit dalam kes itu.

Pihaknya turut merampas pelbagai peralatan pecah rumah, telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan tiga buah kenderaan jenis Saloon yang dipercayai digunakan kesemua suspek bagi tujuan melakukan jenayah.

Telefon bimbit pelbagai jenama dan cecair perisa vape yang dirampas hasil pecah rumah dan premis Geng Peti Besi. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Pemeriksaan rekod jenayah lampau mendapati beberapa suspek sebelum ini pernah terbabit dengan beberapa kes jenayah pecah rumah dan curi serta penyalahgunaan dadah.

“Seramai tiga daripada lapan suspek yang ditahan turut positif dadah jenis syabu dan kesemua suspek direman hingga 23 Oktober untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Polis sedang giat memburu seorang lagi ketua sindiket kumpulan berkenaan berusia 39 tahun yang dipercayai masih berada di negeri ini. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Dengan tertangkapnya kesemua suspek, kita berjaya menyelesaikan 10 kes pecah rumah dan sarang burung sekitar negeri ini dengan kerugian mencecah lebih RM100,000,” katanya ketika ditemui dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata pihaknya kini sedang giat memburu ketua sindiket kumpulan berkenaan berusia 39 tahun yang dipercayai masih berada di negeri ini.

Antara peralatan yang digunakan suspek Geng Peti Besi memecah masuk rumah dan premis. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Sementara itu dalam kes berasingan, Peter berkata, tiga lelaki tempatan berusia 36 hingga 39 tahun berjaya ditahan selepas dipercayai memecah masuk sebuah premis perniagaan di Ground Floor, Bintang Garden Commercial, Jalan Apas pada 13 Oktober lalu.

Menurutnya, kesemua lelaki berkenaan ditahan kira-kira pukul 1 hingga 2.22 pagi semalam, di tiga rumah berlainan di Taman Bintang, Batu 3, Jalan Apas oleh Polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau.

“Dengan dipandu arah ketiga-tiga suspek pada hari sama pukul 2.35 pagi bertempat di sebuah kedai, polis berjaya merampas sebuah notebook jenama HP yang dipercayai adalah barangan curi.

“Manakala pada pukul 3.30 pagi di tempat letak kereta hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Hidayat Batu 4, Jalan Apas polis berjaya merampas 15 kotak cecair perisa Vape dan sebuah telefon bimbit jenama Vivo,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, pemeriksaan rekod jenayah lampau mendapati dua daripada suspek yang ditangkap pernah terlibat dengan beberapa kes jenayah rompak bersenjata sebelum ini dan terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Kesemua suspek berkenaan katanya, akan direman selama empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.-SabahNewsToday