Pilih Bahasa

Gereja pelbagai denominasi terima sumbangan 170 pek beras

TUARAN: Gereja dari pelbagai denominasi di sini terus mendapat perhatian daripada Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko).

Kelmarin, Upko menyumbangkan sebanyak 170 pek beras kepada Paroki Kristian Katolik Saint John Tuaran dan Saint Joseph Kiulu serta kepada Gereja Anglican dan Gereja Basel Malaysia (BCCM) Bahasa Cina.

Gan (dua kanan) menerima sumbangan beras dari Madius (tengah) sambil disaksikan Joisin (kiri).-Gambar SNT/Ihsan Pejabat MTI

Majlis penyampaiannya disempurnakan Presiden Upko, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Ujar Madius, badan keagamaan turut terkesan pada ketika ini kerana upacara ibadat di gereja tidak dibenarkan seperti pada masa-masa lalu.

“Justeru pungutan persembahan yang biasanya untuk membantu pembiayaan para pemimpin dan petugas gereja seperti paderi dan pendeta tidak dapat diadakan.

“Oleh itu kita membantu dengan menyalurkan beras ini supaya serba sedikit dapat membantu meringankan bebanan mereka,” katanya ketika ditemui pada acara berkenaan.

Madius (dua kanan) menyampaikan beras kepada Jemmie (tiga kanan).-Gambar SNT/Ihsan Pejabat MTI

Sementara itu, Pendeta Gereja BCCM Bahasa Cina Tuaran, Gan Ching Hua, 36, berkata beliau bersyukur kerana Madius mengambil berat terhadap kebajikan badan-badan keagamaan yang turut terkesan pada sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Datuk Seri Madius bukan hanya membantu sesetengah komuniti sahaja, tetapi dia juga membantu semua agama termasuk agama Islam dan bukan Islam. Puji dan syukur kepada Tuhan,” katanya kepada media.

Paderi Gereja Anglican Tuaran, Tamparuli dan Kota Belud, Jemmie Pitah, 45, pula memaklumkan bantuan itu sebagai jawapan kepada doa mereka.

“Kita sebenarnya agak kekurangan pada ketika ini, namun kita terus berdoa sehinggalah kita tiba-tiba dimaklumkan tentang sumbangan ini.

Madius (tiga kiri) menyampaikan sumbangan beras kepada Postinus (dua kanan). Turut kelihatan Joisin (tepi kiri).-Gambar SNT/Ihsan Pejabat MTI

“Secara khususnya saya berterima kasih kepada Datuk Seri Madius kerana tidak melupakan kebajikan kami serta badan keagamaan lain. Tuhan memberkati,” katanya.

Seorang lagi pemimpin agama yang ditemui iaitu Pembantu Rektor Gereja St Joseph Kiulu, Paderi Postinus Kurup, 44, mendoakan agar Madius terus diberikan kesihatan yang baik dan berada dalam menjalankan tugasan selaku wakil rakyat.

“Walaupun kita semua tahu tentang bahaya ancaman wabak pandemik Covid-19, beliau masih komited menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dan prihatin membantu masyarakat yang terjejas,” katanya sambil mengucap syukur dan terima kasih kepada Madius.

Hadir sama, Setiausaha Politik Madius, Joisin Romut.-SabahNewsToday