Pilih Bahasa

GIAT USAHA TARIK MINAT BELIA BERPERSATUAN

BEAUFORT: Usaha untuk menarik minat golongan belia di negeri ini dalam berpersatuan harus lebih dipergiatkan lagi, dengan kerjasama di antara pihak kerajaan dan pemimpin-pemimpin belia.

Pengerusi Kelab Belia Pekan Beaufort (KBPB) Mohammad Norizhuan Awang berkata usaha tersebut juga memerlukan kerjasama daripada semua persatuan dan kelab belia supaya lebih proaktif dan kreatif dalam menarik minat golongan belia untuk berpersatuan.

Mohammad Norizhuan (kiri) bersama dengan wakil Kelab Belia Transformasi Kampung Melati, Kahak Buntak. Gambar SNT/Ihsan KBPB

“Kelab dan persatuan belia haruslah sentiasa terbuka dan sentiasa menyelami kehendak para belia akar umbi dalam melaksanakan program mereka, hal ini penting kerana dengan cara melaksanakan aktiviti yang mantap sahaja dapat menarik golongan ini untuk berpersatuan.”

“Golongan belia juga harus diberi kesedaran bahawa dengan berpersatuan, suara dan aspirasi  mereka akan lebih didengar oleh pihak kerajaan,” katanya selepas menghadiri Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Pedalaman Bawah yang telah dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Beaufort, Haji Mohd Shaid Othman yang juga Pengerusi MPBN Bahagian Pedalaman Bawah.

Di dalam majlis itu, Mohammad Norizhuan telah membentangkan pelbagai usul untuk dibincangkan merangkumi aspek Program dan Pembangunan Belia, Pemberian Bantuan, Ekonomi Belia, Masalah Gejala Sosial Melibatkan Golongan Belia serta berkenaan Dasar dan Polisi Kerajaan.

“Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) ini sangat bertepatan dilaksanakan, kerana dari sini lah pihak kerajaan melalui agensi yang terlibat dapat mendengar segala cadangan dan pandangan daripada golongan belia,” katanya.-SabahNewsToday