Pilih Bahasa

GILIRAN SYARIKAT KONSESI PENYELENGGARAAN JALANRAYA NEGERI DITAMATKAN KONTRAK

Oleh Chris Maskilone

Mohd Shafie (tengah) bersama pemimpin Kerajaan Negeri Sabah memotong kek Krismas di Rumah Terbuka Krismas anjuran ADUN Kadamaian Datuk Ewon Benedick di Taginambur hari ini. Gambar SNT/Ehsan JKM

KOTA BELUD: Selepas penamatan konsesi air, Kerajaan negeri kini menumpukan perhatian terhadap konsesi penyelenggaraan jalan raya negeri di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata beberapa penamatan kontrak syarikat konsesi telahpun dibuat pada tahun lalu dan langkah sama akan dibuat lagi pada tahun ini.

“Kita akan lihat masalah-masalah yang akan timbul kerana ini sudah berlarutan lama. Banyak jalan-jalan negeri yang perlu kita tingkatkan supaya tiada ketirisan.

“Kita guna peraturan dari segi perundangan untuk pastikan jalan yang ada dan banyak yang rosak dapat diperbaiki,” katanya.

Mohd Shafie yang juga Menteri Kewangan diminta mengulas ucapan beliau semasa merasmikan majlis Rumah Terbuka Krismas anjuran Menteri Pembangunan Luar Bandar di Dewan Gopog, Taginambur di sini hari ini.

Menurut Shafie, sudah tiba masanya untuk pendekatan baharu dibuat dan bukan setakat menampal lubang-lubang di atas jalanraya.

“Ini kita perlu tambah baik, ubah suai supaya tahan bukan sebulan dua,” katanya, sambil menambah perkara ini akan dilihat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri sepertimana penamatan konsesi air.

Pada 21 Disember lalu, Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony mengumumkan keputusan Kerajaan negeri untuk menamatkan kontrak enam syarikat yang mengendalikan sebanyak 58 Loji Rawatan Air di seluruh Sabah berkuatkuasa 15 Jan tahun ini.

Penamatan kontrak itu katanya menjimatkan Kerajaan Sabah jimat lebih kurang RM1bilion.

Ditanya mengenai langkah untuk mencari penganti syarikat konsesi, Shafie berkata Kerajaan negeri akan menilai secara mendalam perkara tersebut.

“Kita akan lihat kerana yang penting kepada kita adalah supaya penyelenggaraan jalanraya akan dapat kita tingkatkan … Ianya memakan belanja beratus juta ringgit setiap tahun,” katanya.

Sebelum ini ada laporan menyatakan terdapat lima syarikat konsesi penyelenggaraan jalanraya negeri Sabah yang diberi kontrak  antara 10 dan 15 tahun bernilai RM800 juta sehingga RM1 billion.-SabahNewsToday