Pilih Bahasa

GLEN HAPIRULLA DIIKHTIRAF PERTAMA TEMUI BLUE RING REEF

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Taman-taman Sabah (TTS) hari ini mengikhtiraf Pengusaha Pirate Divers, Glen Hapirulla sebagai orang pertama menemui Blue Ring Reef di Terumbu Tingkayu Teluk Darvel Lahad Datu.

Penemuan keindahan marin Blue Ring Reef yang seakan ‘Blue Hole’ (Lubang Biru) dua tahun lalu itu adalah hasil usaha selaman dan rakaman menggunakan dron oleh Glen bersama pasukannya dalam merekodkan keunikan terumbu karang terbabit.

Jamili (kanan) bersalaman dengan Pengusaha Pirate Divers, Glen Hapirulla (kiri) selepas sidang media berkenaan. Gambar SNT/Alfred Petrus

Pengarah TTS, Dr. Jamili Nais berkata Pirate Divers sudah beroperasi ditempat itu hampir sembilan tahun dan membawa pelancong untuk melihat sendiri keunikan Blue Ring Reef sejak 2017 lagi.

Dalam pada itu, Jamili memperbetulkan kenyataan berkenaan penemuan Blue Hole oleh ekspedisi saintifik TTS bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Yayasan Sabah seperti yang dilaporkan baru-baru ini bukanlah penemuan baharu dan pertama.

“Bulan lalu, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (Kepkas) mengarahkan untuk melaksanakan satu ekspedisi saintifik bersama dengan UMS dan Yayasan Sabah serta pejabat daerah di Terumbu Tingkayu Teluk Darvel Lahad Datu.

“Pihak TTS juga telah menghubungi Glen untuk bersama kami, tetapi beliau masih berada di Singapura pada ketika itu. Lalu sepanjang ekspedisi saintifik itu, pasukan penyelam dan penyelidik TTS serta UMS telah menyelam mencari keunikan dan justifikasi yang membolehkan kawasan tersebut dijadikan sebagai taman marin.

“Mereka begitu teruja, bila salah satu tarikan unggul di situ adalah kewujudan Blue Ring Reef yang ditemui oleh Glen sejak 2017 lagi,” katanya dalam satu sidang media di Hello Stranger, Riverson, hari ini.

Katanya hasil daripada ekspedisi saintifik berkenaan, TTS akan mengumpulkan data-data mengenai Blue Ring Reef dan membuat kertas kerja sebelum dihantar ke kerajaan negeri untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai taman marin.

Tambahnya Blue Ring Reef kini menjadi pengetahuan dan bualan umum sejak beberapa hari lalu berikutan penularan penemuan keunikan terumbu yang hampir membentuk ‘Blue Hole’.

“Kita baru bermula dengan pengumpulan data-data penyelidikan mengenai kawasan ini. Kita masih tidak tahu ia akan diwartakan sebagai Teluk Darvel ataupun Teluk Silam mahupun Teluk Lahad Datu.

“Tetapi, proses ini baru bermula bagi mengemukakan kertas kerja kepada kerajaan negeri untuk diwartakan sebagai kawasan marin yang dilindungi.

“Namun, cadangan pewartaan ini tidak termasuk pulau sekitar, kerana kebanyakan pulau-pulau di kawasan itu adalah hutan simpan dan sudahpun dilindungi. Hanya tinggal perairan sahaja,” jelasnya.

Menurutnya walaupun Pirate Divers sudah beroperasi di perairan tersebut sejak dahulu, namun TTS akan mencari ruang untuk bekerjasama rapat dengan Glen dari segi promosi pelancongan serta aktiviti pemuliharaan terumbu karang.

Sementara itu, Glen menegaskan bahawa terumbu yang dikatakan Blue Hole itu tidak menggambarkan ciri-ciri sebenar Lubang Biru kerana dinding terumbu karangnya yang tidak curam dan memperlihatkan perbezaan warna antara biru gelap dan terang bagi membezakan kedalaman dan kecetekan air.

Katanya dinding terumbu karang itu sebenarnya membentuk seperti sebuah baldi dan tidaklah dalam seperti Blue Hole. -SabahNewsToday