Pilih Bahasa

Golongan terjejas ekoran PKP terus disalurkan bantuan

Oleh Sabah News Today

TUARAN: Golongan yang memerlukan seperti ibu tunggal, Orang Kurang Upaya, warga emas, dan golongan miskin terus diberi keutamaan dalam penyaluran bantuan.

Bantuan berupa makanan asas keperluan harian disalurkan kepada penghuni PPR Sri Rugading, di sini kelmarin.

Penyampaian disempurnakan Timbalan Ketua Menteri Sabah, merangkap Ahli Parlimen P170 Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Menurutnya, selepas ini bekalan akan disalurkan lagi di beberapa kawasan lain bagi mengurangkan bebanan mereka yang terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi pencegahan Covid-19.

Madius (tiga kanan) menyampaikan simbolik penyerahan bantuan kepada Calista (dua kiri). Turut kelihatan Joisin (tepi kiri) dan Sofian (tepi kanan).-Gambar SNT/Ihsan Pejabat Akhbar MTI

“Sebelum ini, kerajaan negeri telah mengumumkan bantuan bayaran sewa enam bulan kepada semua penghuni rumah PPR.

“Ia bagi membantu para penghuni menyimpan wang untuk kegunaan membeli makanan dan keperluan asas harian.

“Namun kita telah mendapati bahawa terdapat segelintir yang masih tidak berkemampuan, justeru kita tampil memberi bantuan untuk mereka yang tidak bernasib baik ini,” katanya.

Hadir sama pada program itu, Setiausaha Politiknya, Joisin Romut dan Pegawai Daerah merangkap Pengerusi Majlis Daerah Tuaran, Mohd Sofian Alfian Nair.

Haji Saplin.-Gambar SNT/Ihsan Pejabat Akhbar MTI

Sementara itu penduduk PPR Sri Rugading ketika ditemui menyatakan rasa terima kasih atas bantuan yang diberikan.

Bagi Haji Saplin Limun, beliau memaklumkan bantuan tersebut adalah satu kelegaan dan berita gembira untuknya sekeluarga.

“Ini kerana semasa PKP, sukar untuk membeli makanan dan kita juga mempunyai kekangan dalam pergerakan.

“Justeru, kami bersyukur dengan bantuan yang yang diberikan dan ia memberi kecukupan saya dan keluarga,” katanya.

Calista Charlie.-Gambar SNT/Ihsan Pejabat Akhbar MTI

Calista Charlie Kinihing, 31, pula memaklumkan sumbangan yang diberikan itu boleh meringankan beban keluarga yang memerlukan.

“Saya sendiri cuma membantu menguruskan agihan bersama ketua-ketua blok yang sudah pun mengenal pasti para penghuni yang lebih memerlukan,” katanya.-SabahNewsToday