Pilih Bahasa

Gotong royong Perdana Dun Tanjung Batu tangani isu sampah

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Masyarakat di daerah ini disaran supaya mementingkan kebersihan daripada isu longgokan sampah terutama di kawasan kampung demi kesihatan dan keselamatan penduduknya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat berkata aspek kebersihan itu perlu diambil peduli kerana ia mampu menjana kehidupan yang lebih sejahtera dan harmoni.

Penduduk Dun Tanjung Batu gotong-royong membersihkan kawasan kampung masing-masing. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Jika kampung kita tidak bersih segala jenis wabak penyakit boleh berjangkit dengan mudah kerana sampah yang tidak diurus dengan baik akan menjadi tempat pembiakan haiwan pembawa penyakit seperti nyamuk, lalat, dan sebagainya” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Gotong-Royong Perdana Dun Tanjung Batu di sini hari ini.

Beliau berkata menerusi program bertemakan ‘Bersih Kampung Kita, Bersihlah Kita’, pelbagai inisiatif dilakukan penduduk bagi membersihkan kampung daripada dibelenggu isu sampah.

“Antara langkah yang mereka ambil adalah melakukan kutipan wang minima RM10 bagi setiap rumah untuk membayar lori mengangkut sampah dengan lebih teratur.

“Ini antara tindakan bijak, kita tidak perlu tunggu sampai sampah itu bertimbun, berminggu-minggu tidak diangkut dan kita tidak perlu tunggu orang lain atau pihak lain pungut serta angkut sampah-sampah kita,” jelasnya.

Sebanyak 10 lokasi utama dibersihkan ekoran longgokan sampah yang dibuang oleh masyarakat yang tidak mementingkan kebersihan. Gambar SNT /Nasrawati Syarifuddin

Hamisa turut berkata masyarakat perlu bersikap bertanggungjawab dengan memastikan sampah masing-masing dibuang ke tempat yang sepatutnya.

“Sampah perlu dibuang di tong sampah, bukannya dibuang sesuka hati, dilempar di tepi jalan raya atau kawasan tersorok.

“Tindakan membersihkan rumah dari sampah sudah betul tetapi tindakan buang sampah pula tidak betul kerana melempar sahaja dari kereta untuk dibuang di tepi jalan adalah satu perbuatan yang tidak bermoral,” katanya lagi.

Terdahulu mengulas mengenai program berkenaan, Hamisa berharap ianya akan diadakan dari semasa ke semasa kerana bukan sahaja dapat membersih kampung tetapi juga mengerat hubungan silaturahim.

Program yang membabitkan 10 lokasi utama di Dun Tanjung Batu itu turut mendapat kerjasama daripada Majlis Perbandaran Tawau, Jabatan Kesihatan Tawau, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tawau dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung serta pemimpin masyarakat.-SabahNewsToday