Pilih Bahasa

Graduan Ijazah Sarjana Muda dialu-alukan pohon jawatan Guru Interim

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) mengalu-alukan graduan yang mempunyai minimum Ijazah Sarjana Muda pertama untuk membuat permohonan sebagai Guru Interim (Gint).

Pengarah JPNS, Dr Mistirin Radin berkata hal demikian kerana Sabah diberi peruntukan untuk melantik Gint sebanyak 750 bagi tahun ini sebagai usaha merealisasikan Dasar 90:10 2016-2021.

Mistirin (duduk temgah) merakamkan gambar kenangan bersama 166 Gint baharu. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Calon-calon yang layak akan dipilih untuk menduduki Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG) terlebih dahulu sebelum dipilih untuk menghadiri temuduga bagi memastikan guru yang dilantik itu berkualiti.

“Setakat ini, kita sudah melantik kira-kira 130 orang guru interim bagi opsyen Pendidikan Islam dan hari ini seramai 166 guru baharu pelbagai opsyen yang ditempatkan di Sekolah Menengah serta Sekolah Rendah seluruh negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Penempatan Guru Interim Sekolah Menengah dan Rendah Siri Satu 2019 di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, hari ini.

Mistirin (dua kanan) menyampaikan surat lantikan dan penempatan kepada salah seorang Gint sambil disaksikan Mohd Zaini. Gambar SNT/Alfred Petrus

Katanya JPNS masih memerlukan kira-kira 400 orang guru interim untuk dilantik pada tahun ini.

Tambahnya bagi Dasar 90:10 setakat ini, penempatan guru Sekolah Menengah yang berasal dari Sabah sendiri sudah mencapai 94 peratus.

Manakala, bagi Sekolah Rendah pula mencatatkan penempatan sejumlah 98 peratus seluruh Sabah.

“Namun, usaha berkenaan berterusan oleh kerana guru yang berasal dari Semenanjung akan berpindah ke tempat mereka.

“Sebab itu kita di jabatan masih memerlukan pengganti kepada guru-guru Semenanjung yang berpindah,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Mistirin menjelaskan kepada 166 Gint baharu itu bahawa penempatan berkenaan akan berkuatkuasa pada 1 Ogos.

Menurutnya semua Gint perlu mengikuti Kursus Dalam Cuti (KDC) selama dua tahun selepas selepas penempatan.

Beliau juga menekankan bahawa Gint tidak layak untuk memohon pertukaran melalui sistem E-Ganti selama lima tahun berkhidmat bermula tarikh surat penempatan terbabit.

Hadir sama pada majlis berkenaan Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Mohd Zaini Yanin. -SabahNewsToday