Pilih Bahasa

Graduan TVET lebih laku dalam bidang pekerjaan

Dr Yusof (dua dari kanan) menyampaikan surat lantikan kepada seorang pencari kerja telah berjaya dalam temuduga terbuka di Sipitang. – Gambar SNT/Ihsan KPI

SIPITANG: Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan lagi pilihan kedua pada masa ini kerana ianya menyediakan peluang pekerjaan yang banyak dengan pendapatan yang agak lumayan.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Negeri, Datuk Dr Yusof Yacob berkata program TVET sering disalah erti sebagai pilihan kedua dan hanya layak untuk individu yang kurang cemerlang dari segi pencapaian akademik.

“Sebenarnya, stigma ini sudah lapuk ditelan zaman kerana kini graduan program  TVET kian mendapat perhatian oleh majikan. Proses pendidikan TVET adalah lebih menuju ke arah industri yang memerlukan tenaga kerja yang terlatih serta berkemahiran tinggi selaras dengan keperluan Revolusi Industri (IR) 4.0” katanya.

“Berdasarkan pengesanan graduan TVET Malaysia, permintaan majikan untuk  graduan TVET adalah lebih tinggi iaitu 98 peratus berbanding graduan universiti hanya 60 peratus,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Pekerjaan Peringkat Daerah Sipitang di sini, semalam.

Sebahagian pencari kerja pada Karnival Pekerjaan Peringkat Daerah Sipitang. – Gambar SNT/Ihsan KPI

Hadir sama, Pegawai Daerah Sipitang, Matlin Dullah; Pengarah Jabatan Pengarah Tenaga Kerja Sabah; Kamal Pardi, Pengarah Jabatan Pembanguna Manusia (JPSM) Sabah, Zainudin Aman dan Ketua Polis Daerah Sipitang Deputi Superitendan Champin Piuh.

Karnival Pekerjaan Sipitang 2020 yang dianjurkan bersama Jabatan Tenaga Kerja dan Kementerian Pelajaran dan Inovasi Negeri Sabah (KPINS) dan JPSM.

Pada Karnival itu sebanyak 935 kekosongan jawatan ditawarkan oleh 14 majikan dengan 250 lulusan siswazah dan 685 pemegang sijil diperlukan untuk mengisi pelbagai jawatan.

Dr Yusof ketika berucap merasmikan Karnival Pekerjaan Peringkat Daerah Sipitang. – Gambar SNT/Ihsan KPI

Dr Yusof memberitahu bahawa sebanyak 35 karnival seumpama itu akan diadakan diseluruh negeri Sabah sepanjang tahun ini dan daerah Sipitang sebagai pembuka tirai.

“Saya sentiasa berharap agar pulangan daripada program ini mampu membantu pihak Kerajaan mengurangkan kadar penggangguran di Sabah.

“Di bawah KPINS dan Jabatan di bawah seliaan KPINS iaitu JPSM, kami sedang berusaha untuk menarik minat pelabur dalam dan luar negara bagi membolehkan lebih banyak peluang pekerjaan dapat dibuka dan ditawarkan kepada pencari kerja,” katanya. – SabahNewToday