Pilih Bahasa

‘Green food corridor’ diwujudkan elak konflik hidupan liar

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Kerajaan bersetuju untuk bekerjasama membentuk `green food corridor’ di beberapa bahagian di Kinabatangan bagi memberi laluan selamat bagi memudahkan pergerakan haiwan terutama gajah di kawasan hutan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata koridor itu telah dikenalpasti dan pemilik-pemilik kawasan tersebut telah bersetuju secara dasar untuk membenarkan kawasan mereka dijadikan laluan gajah.

Dua timbalan ketua menteri Sabah … Datuk Christina Liew dan Datuk Jaujan Sambakong. Gambar Fail SNT

“Kawasan-kawasan itu juga akan ditanam dengan tumbuhan yang menjadi makanan gajah. Usaha ini dibuat sebagai langkah untuk menambah kawasan keliaran dan juga makanan tambahan bagi haiwan itu.

“Tindakan ini adalah untuk mengurangkan konflik di antara manusia atau pun haiwan selain memastikan perlindungan mereka terjamin,” katanya semasa menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata pihaknya akan meneruskan usaha usaha memelihara kekayaan kepelbagaian warisan budaya dan kepercayaan etnik negeri ini.

Katanya pemeliharaan warisan budaya negeri yang merupakan aset utama sektor pelancongan negeri akan mewujudkan rasa cinta dan setia kepada bangsa, negeri dan negara secara keseluruhan.

Mengenai sasaran untuk mencapai ketibaan empat juga pelancong dengan sasaran pendapatan sebanyak RM8.53 bilion yang telah ditetapkan oleh kerajaan pada 2019, Christina berkata kementerian akan mempergiatkan usaha untuk menarik pelancong domestik dan antarabangsa melalui promosi dalam dan luar negara.

Beliau berkata ketika ini Sabah mempunyai 220 penerbangan terus antarabangsa seminggu daripada 25 destinasi antarabangsa.

Katanya bermula Mei ini satu lagi syarikat penerbangan asing akan mengadakan penerbangan terus dari Daegu, Korea mulai 22 Mei 2019 dengan tujuh penerbangan seminggu. – SabahNewsToday