Pilih Bahasa

Guna duit percutian bantu penduduk kampung

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: “Ini duit percutian kami tetapi tidak digunakan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

“Kami gunakannya bagi membeli barangan keperluan harian untuk diberikan kepada penduduk memerlukan di pulau ini,” kata pemuda German yang hanya mahu dikenali sebagai Benedict, 33.

Benedict (kanan) memunggah naik barang keperluan yang didermakan olehnya kepada penduduk Kampung Pondo, Pulau Gaya. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Benedict bersama teman wanitanya yang berasal daripada Indonesia, Lina, 29, sudah dua bulan berada di Kota Kinabalu ekoran terkandas berikutan pelaksanaan PKP di seluruh negara sejak 18 Mac lalu.

“Kita tiba di negeri ini sehari sebelum PKP kerana bercadang mahu mengelilingi Sabah termasuklah pergi ke pulau dan mendaki Gunung Kinabalu.

“Bagaimanapun, agensi yang bertanggungjawab memaklumkan semua aktiviti pelancongan ditutup selama dua minggu ketika itu.

Lina (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan bantuan barangan keperluan harian kepada salah satu keluarga yang memerlukan di Kampung Pondo, Pulau Gaya. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Mulanya saya dan Lina ambil keputusan untuk menunggu sehingga PKP fasa pertama selesai namun ia dilanjutkan hingga kini mengakibatkan kami terpaksa tunggu keadaan kembali pulih,” katanya yang bertugas sebagai pengkaji bebas.

Dalam pada itu, Lina menyatakan idea menyalurkan sumbangan itu timbul selepas mendengar cerita warga setempat tentang penduduk Pulau Gaya khususnya Kampung Pondo.

Menurut Lina, dia dan Benedict datang bertemu ketua kampung serta melihat sendiri kehidupan penduduk di kampung itu lebih dahulu sebelum kembali semula untuk memberikan sumbangan.

Benedict (kanan) menyerahkan sumbangan sambil diperhatikan oleh teman wanitanya, Lina. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Kebetulan kita mempunyai bajet yang tidak digunakan selain berpendapat mahu melakukan sesuatu yang bermanfaat buat penduduk disekitar bandar raya ini.

“Walaupun sumbangan yang diberikan tidak banyak namun berharap ia dapat meringankan keluarga yang memerlukan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Lina berkata dia serta teman lelakinya menyumbangkan bekalan makanan kepada 40 keluarga yang terdiri daripada balu, warga emas dan individu yang sakit.

Benedict (kiri) bersama teman wanitanya, Lina, menaiki sebuah bot yang disewa khas bagi membawa bekalan keperluan harian untuk didermakan kepada penduduk di Kampung Pondo, Pulau Gaya. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Barangan diberikan seperti beras, telur, gula, minyak masak dan mee segera.

Sementara itu, Ketua Komuniti Kampung Pondo, Jamili Taat, 37, berkata beliau selaku wakil penduduk kampung mengucapkan terima kasih kepada pasangan berkenaan atas bantuan diberikan.

Jamili berkata pihaknya sebelum ini juga pernah mendapat bantuan seumpama itu yang diberikan pihak kerajaan. – SabahNewsToday