Pilih Bahasa

Guna kaedah penandaan penyu mesra hidupan marin: SPDA

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

SEMPORNA: Persatuan penyelam Profesional Semporna (SPDA) mahu kaedah penandaan penyu khususnya di Pulau Mabul lebih bersifat mesra hidupan marin.

Timbalan Presiden SPDA, Dahlan Maizin berkata proses penandaan penyu yang dilakukan menggunakan kaedah ‘lift bag’ untuk membawa penyu naik ke permukaan air menimbulkan kebimbangan penyelam profesional yang sering menyelam di pulau berkenaan.

Tali terikat pada Penyu yang dirakam dipercayai terlibat dalam proses penandaan. – Gambar SNT/Ihsan SPDA

Menurut Dahlan kaedah itu dilakukan sejak beberapa tahuh lalu namun ia disifatkan tidak mesra hidupan marin sekaligus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penyelam profesional yang sering menyelam di pulau itu.

Jelas beliau lagi salah seorang daripada ahli SPDA pernah mengambil bahagian dalam penyelidikan itu beberapa tahun lepas dan telah merakam proses penandaan itu.

“Rakaman video itu menunjukkan sekumpulan penyelam membawa penyu dari dasar laut untuk dibawa ke permukaan dengan menggunakan beg bagi membolehkan haiwan tersebut ditandakan.

“Bila manusia menyelam nyawa mereka terancam jika terus naik ke permukaan disebabkan perubahan mendadak dalam tekanan udara dalam anggota badan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kematian seekor penyu di Pulau Mabul baru-baru ini dipercayai akibat tali terikat di badan haiwan tersebut.

Bagaimanapun Dahlan berkata mereka tidak pasti sama ada kematian penyu itu berkaitan dengan penyelidikan yang dilakukan atau berpunca daripada aktiviti penangkapan spesies itu.

Katanya beberapa penyelam yang biasa menyelam di Pulau Mabul menyedari haiwan itu tidak lagi `mesra’ dengan pengunjungnya, malah mereka dikatakan takut dengan kehadiran manusia.

Tambah beliau lagi bagi para penyelidik yang menjalankan penyelidikan dua kali setahun mereka tidak menyedari perubahan terhadap tingkah laku penyu berbanding penyelam yang menyelam hampir setiap hari di pulau berkenaan. – SabahNewsToday