Pilih Bahasa

Guna peralatan berteknologi tinggi kesan pembunuh gajah Pygmy: Mohd Shafie

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Mohd Shafie (kanan) dan Darell ketika sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) Sabah di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kerajaan mungkin mempertimbangkan penggunaan peralatan berteknologi tinggi dalam usaha mencari pemburu hidupan liar di negeri ini berikutan kes pembunuhan gajah Pygmy Borneo di Beluran, baru-baru ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata peralatan yang menggunakan teknologi baharu itu akan membolehkan pihak berkuasa mencari lokasi dan identiti pemburu terbabit.

“Mungkin bukan drone, tetapi teknologi baharu yang membolehkan kita mencari di lokasi dan pelaku ini.

“Kita menegaskan jika pembunuh gajah ini berkait rapat dengan pemilik ladang, tindakan tegas akan diambil kepada pemilik berkenaan.

“Saya tidak mahu situasi seumpama ini terus berlaku kerana gajah juga hidupan yang harus dijaga selain gajah spesis ini kian diancam kepupusan,” katanya ketika ditemui ketika sidang media selepas beliau hadir pada Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) Sabah di sini semalam.

Turut hadir dalam mesyuarat berkenaan adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking.

Sejurus sidang media selesai, Mohd Shafie turut diraikan dalam satu acara sambutan hari ulangtahun kelahiran yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, Datuk Jaujan Sambakong serta menteri-menteri Kabinet Sabah.

Dalam pada itu ditanya samaada kejadian penemuan gajah pygmy Borneo mati dibunuh mengakibatkan kebimbangan dalam kalangan pelabur untuk datang ke Sabah, Mohd Shafie berkata beliau berpendapat insiden terbabit tidak akan memberi kesan kepada kemasukan pelabur di Sabah terutama pihak yang sering memberikan sumbangan selaku badan bukan kerajaan (NGO) dalam proses pemuliharaan hidupan liar.

Beliau berkata pihaknya juga sudah mengarahkan polis menlaksanakan siasatan selain menjatuhkan hukuman berat ke atas pembunuh gajah berkenaan.

“Memang sudah kehidupan gajah mencari makan dan apabila sumber makanan di dalam hutan terhad, haiwan ini akan mula keluar daripada habitat asal untuk makan.

“Tetapi kita tidak mempunyai lesen untuk membunuh haiwan berkenaan. Perkara yang boleh dilakukan adalah mengadakan kerjasama dengan Jabatan Hidupan Liar Sabah bagi menangani haiwan ini,” katanya.

Terdahulu, seekor lagi gajah pygmy ditemukan mati di kawasan blok Ladang Bimbingan 2, Beluran baru-baru ini dipercayai akibat tembakan. – SababNews Today