Pilih Bahasa

Guru halang polis buat tangkapan ditahan

Oleh Nasrawati Syarifuddin

LAHAD DATU: Akibat menghalang pegawai polis berpangkat inspektor menjalankan tugas, seorang guru lelaki ditahan dalam kejadian di Padang Bola Sepak Bandaran, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata kejadian kira-kira jam 5 petang itu berlaku ketika pegawai polis berusia 33 tahun itu sedang meenjalankan tugas tangkapan dibawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, 427 dan 323 kanun yang sama.

Suspek yang ditahan di Padang Bola Sepak Lahad Datu sebelum guru yang juga bapa saudara suspek bertindak mengasari pegawai polis menjalankan bertugas. Gambar SNT / Ihsan IPD Lahad Datu

“Apabila sedang menjalankan tangkapan, guru berusia 54 tahun itu cuba menghalang dengan menolak dan menampar di bahagian perut mangsa (pegawai polis) sebanyak dua kali tanpa sebab munasabah.

“Difahamkan guru berkenaan adalah bapa saudara kepada suspek yang cuba ditangkap pegawai polis di lokasi terbabit,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata guru berkenaan turut ditahan kerana menghalang tugas polis dengan menggunakan kekerasan.

“Guru terbabit disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan,” katanya. –SabahNewsToday

ENDS