Pilih Bahasa

Guru Kolej Vokasional finalis Pertandingan Pembangun Kurikulum Antarabangsa STEAM

KOTA KINABALU, 6 Nov — Guru Bahasa Inggeris Kolej Vokasional Keningau, Dr Sirhajwan Idek disenarai pendek antara sembilan finalis bagi Pertandingan Pembangun Kurikulum Antarabangsa STEAM yang akan berlangsung pada 12 hingga 14 Dis depan di Shanghai, China. 

Pertandingan tersebut akan menilai bahan dan teknik pengajaran yang berkaitan dengan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik  (STEAM) yang diterapkan dengan kemahiran bersifat subjektif.

Daripada sembilan finalis, tiga yang terpilih untuk peringkat seterusnya akan ditaja penuh untuk ke persidangan tersebut.

Selain Sirhajwan, lapan finalis lain dari Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, Kenya, Ecuador, China, Ukraine dan Bahamas. 

Sirhajwan, 31, berkata pada pertandingan itu dia memperkenalkan konsep Elevator Pitch iaitu aktiviti yang memerlukan pelajar untuk mempromosi peralatan tertentu seperti hos paip, cakera dan guli dengan kreatif serta ringkas bagi meyakinkan kepada kumpulan pelanggan yang spesifik contohnya pekebun, pemandu teksi dan peguam. 

Konsep ini diilhamkannya daripada rancangan realiti televisyen Shark Tank dan Dragon’s Den yang memperlihatkan bagaimana usahawan cuba meyakinkan pelabur saham untuk membeli saham syarikat mereka, katanya kepada Bernama di sini hari ini. 

Pencapaian ini adalah yang ke-28 secara individu dan berkumpulan bagi pertandingan dan anugerah di luar negara bagi Sirhajwan. 

Antara anugerah yang pernah dimenanginya adalah Anugerah Rangkaian Pendidikan Australia -SEAMEO 2018 bagi inovasi pengajarannya yang menggunakan cerita etnik Sabah dalam kelas Bahasa Inggeris serta Anugerah Inovasi Literasi ISTE pada Mei lepas bagi kajiannya dalam penggunaan visual dalam pendidikan Bahasa. 

Sirhajwan berkata beliau ingin membuktikan bahawa guru adalah serba boleh memandangkan beliau merupakan guru Bahasa Inggeris yang menceburi bidang STEM dan menggabungkannya dengan kemahiran berkomunikasi dan kreativiti.

— BERNAMA