Pilih Bahasa

Guru perlu patuhi peraturan berkaitan menghukum murid

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Semua guru di negeri ini dinasihatkan mematuhi peraturan berkaitan menghukum murid ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mengelakkan kecederaan walaupun atas tujuan mendidik.

Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Dr Mistirine Radin berkata mengikuti peraturan ditetapkan hanya guru besar, pengetua atau guru yang diperturunkan kuasa sahaja boleh memberikan hukuman kepada murid yang melakukan kesalahan.

Mistrine Radin ketika ditemui hari ini. Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

Bagaimanapun, Mistirine berkata berkenaan hanyalah hukuman rotan sahaja yang bertujuan mendidik dan bukannya mencederakan murid terbabit.

“Semua guru khususnya di negeri ini harus mematuhinya bagi mengelakkan perkara buruk berlaku.

“Jika terjadi kecederaan, ia bukan sahaja memberi kesan negatif kepada kepada murid, ibu bapa dan guru malah seluruh institusi pendidikan,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Penutupan Kursus Profesionalisme Guru-Guru Pendidikan Khas (Pendengaran), dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab isu berkaitan tindakan seorang guru disebuah sekolah rendah di Likas mengetip telinga seorang murid lelaki tahun empat menggunakan ‘stapler’, Jumaat lalu.

Hadir merasmikan majlis berkenaan adalah Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Jennifer Lasimbang mewakili Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob.

Mistirine berkata pihaknya hanya mengetahui  mengenai kejadian seseorang guru mencederakan telinga murid atas alasan mendidik menggunakan stapler itu semalam.

“Tindakan ini dilihat adalah tidak wajar dan berhemah kerana mengakibatkan kecederaan.

“Saya sudah mengarahkan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) melakukan siasatan dan semua pihak termasuklah ibu bapa, murid, guru besar dan berguru berkaitan akan melakukan perjumpaan esok bagi membincangkan perkara ini secara baik.

“Selain menjalankan siasatan lanjut, kita juga akan menghantar guru wanita ini untuk menghadiri sesi kaunseling,” katanya.

Terdahulu, murid tahun empat, Amir Shafuan Bahram, 10, mengalami luka pada telinga kirinya sehingga berdarah dipercayai hukuman kerana tidak menyiapkan kerja sekolah mata pelajaran Matematik yang diberikan. -SabahNews Today