Pilih Bahasa

Guru rotan murid 22 kali dengan batang penyedok sampah disiasat polis

Oleh Nasrawati Syarifuddin

LAHAD DATU: Polis sedang menyiasat seorang guru sekolah menengah kebangsaan yang memukul punggung seorang murid lelaki tingkatan satu menggunakan batang penyedok sampah sebanyak 22 kali di sini.

Pelajar berusia 13 tahun itu dipukul di hadapan pelajar lain hingga mendatangkan kecederaan di bahagian punggungnya pada 11.30 pagi Rabu lalu.

Berikutan kejadian itu, mangsa yang ditemani ahli keluarganya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata guru lelaki terbabit kemudian dipanggil untuk memberi keterangan.

Katanya hasil siasatan awal mendapati suspek bertindak demikian selepas mendapati mangsa tidak hadir ke sekolah pada 22 April tanpa kebenaran.

“Ketika kejadian suspek terlupa membawa rotan ke dalam kelas. Sebagai alternatif untuk melaksanakan denda suspek kemudian menggunakan batang plastik penyedok sampah sebagai rotan.

“Mangsa disebat sebanyak 22 kali oleh suspek atas kesalahan tidak hadir ke sekolah pada 22 April tanpa memaklumkan kepada pihak sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, akibat pukulan tersebut mangsa mengalami kecederaan lebam di bahagian punggung.

“Siasatan lanjut mendapati mangsa tidak hadir ke sekolah kerana mengikuti bapanya ke Tawau bagi menyaksikan kejohanan Taekwondo dan tidak memaklumkan kepada pihak sekolah berhubung ketidakhadiran tersebut.

“Bagaimanapun, suspek belum ditahan dan kes masih dalam siasatan dibawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan,” katanya.

Kesalahan yang didakwa dibawah seksyen 324 boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda atau rotan, atau antara dua hukuman ini jika sabit kesalahan.-SabahNewsToday