Pilih Bahasa

Guy Kassa Gnabouyou ganti Hector Ramos

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Penyerang berasal dari Puerto Rico Hector Omar Ramos tidak akan meneruskan musim ini dengan Skuad Tambadau Sabah.

Kekosongan di bahagian jentera serangan itu akan diisi oleh Guy Kassa Gnabouyou, pemain berasal dari Perancis yang dijangka membuat penampilan pertama bersama Sabah dalam aksi Liga Super menentang Felda United di Stadium Likas esok.

Guy Kassa Gnabouyou mengikuti sesi latihan bersama skuad Tambadau Sabah petang tadi. Gambar SNT/Ihsan Safa

Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa), Datuk Peter Anthony ketika dihubungi mengesahkan Gnabouyou telah mengikat kontrak dengan persatuan itu bagi menggantikan Ramos.

Ramos pada 2018 adalah antara penyerang Tambadau yang berjaya membantu pasukan sehingga layak ke separuh akhir Piala Malaysia pada musim berkenaan.

Bagaimanapun, prestasi beliau sejak kembali semula ke pangkuan Sabah pada musim ini dilihat kurang memberangsangkan serta gagal membantu bahagian serangan untuk menghasilkan gol.

Ramos sebelum ini juga telah membuat lima penampilan bersama pasukan iaitu empat perlawanan pra musim di Indonesia bulan lalu dan satu aksi Liga Super, minggu lalu.

“Pihak SAFA membuat keputusan ini (membawa masuk Gnabouyou) demi kepentingan pasukan dan ianya dibuat selepas perbincangan di kalangan barisan jurulatih serta pengurusan pasukan.

“Jadi adalah lebih baik membuat satu keputusan drastik demi pasukan selagi masih berpeluang berbuat demikian,” kata Peter.

Beliau juga berharap kemasukan Gnabouyou akan dapat memantapkan lagi skuad Tambadau terutama di bahagian serangan yang dilihat agak tumpul sebelum ini.

Gnabouyou, 30, yang memiliki ketinggian 1.83 meter sebelum ini pernah beraksi bersama beberapa kelab di Perancis dan pernah disenaraikan dalam skuad kebangsaan bawah 21 tahun negaranya pada 2009.

Sementara itu, Peter berkata Tambadau sudah bersedia untuk melayan kunjungan Felda United di Likas, esok, dan berharap mereka akan dapat mengutip mata penuh di hadapan penyokong sendiri.

“Semua pemain berada dalam keadaan baik kecuali Dennis Buschening yang terpaksa di ketepikan kerana mengalami kecederaan pangkal peha.

“Jadi ini bermakna ketua jurulatih iaitu Kurniawan (Dwi Yulianto) hanya akan menurunkan empat import termasuk Gnabouyou untuk perlawanan esok.

“Apapun saya yakin dengan percaturan yang akan dibuat Kurniawan dan saya juga berharap para penyokong akan datang beramai-ramai ke stadium untuk menyuntik semangat para pemain,” katanya-SabahNewsToday