Pilih Bahasa

‘Habuan’ untuk TYT lulus pembubaran Dun fitnah – Mohd Shafie

Oleh Sabah News Today

TAWAU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menafikan ada memberi ‘habuan’ untuk mempengaruhi keputusan Yang Dipertua Negeri Sabah (TYT), Tun Juhar Mahiruddin agar menyebelahinya berkaitan kelulusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah.

Menurutnya, perkara itu adalah fitnah dan pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang menyebar isu berkenaan.

Mohd Shafie (duduk tengah) bercakap dalam sidang media di Tawau hari ini. Gambar SNT

“Itu satu fitnah dan saya telah minta peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang kerana ketika saya berjumpa dengan TYT, peguam negeri berada di situ, dan juga saya diiring dengan pemimpin negeri yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Lot Penempatan Mangsa Kebakaran Kampung Tanjung Batu Keramat Otentik di Dewan Masyarakat.

Terdahulu ketika berucap beliau berkata keputusan membubarkan Dun bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

Namun katanya tindakan tersebut adalah jalan terbaik bagi menangani kemelut politik di negeri ini selepas terdapat usaha menjatuhkan kerajaan yang ditadbir bersama Upko, DAP dan PKR.

“Berat hati saya untuk membubarkan Dun tetapi apakan daya demi rakyat dan saya harap rakyat akan buat pilihan yang tepat nanti,”katanya.

Hadir sama Ahli Parlimen Tawau, Datuk Christina Liew, Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman dan Penasihat DAP Sabah, Datuk Jimmy Wong.

Katanya Kerajaan Warisan ibarat kanak-kanak baru berusia dua tahun, tetapi telah memberikan perkhidmatan yang sangat cemerlang untuk rakyat walaupun sering diganggu dengan pelbagai isu.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shafie menjelaskan sedia bekerjasama dengan parti baharu oleh bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad (Tun M) asal seiring landasan perjuangan khususnya dalam penentuan hak-hak peringkat negeri, keperluan rakyat dan dasar yang sama.

“Kerjasama memang kita alu-alukan, kita memang sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang kita boleh bawa berunding, kita memang dari dulu bekerjasama dengan Tun tak ada masalah.

“Tak kan pula kita hanya kerjasama dengan Tun masa beliau jadi Perdana Menteri (PM), bila tiada jawatan kita tak mahu pula kerjasama, saya ingat itu nilai-nilai yang tidak baik.

“Kita akan lihat dan teliti tetapi saya yakin kira boleh bekerjasama sebab walaupun kita tak ada ikatan dengan DAP kita boleh kerjasama tak kan dengan Tun M tak boleh,” katanya lagi.-SabahNewsToday