Pilih Bahasa

Had umur belia diturunkan daripada 40 kepada 30 tahun – Syed Saddiq

Oleh Nasrawati Syarifuddin

KUNAK: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menurunkan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun dalam sesi parlimen yang akan datang.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata penurunan had itu bagi memastikan golongan belia di bawah umur 30 tahun yang memerlukan bantuan sentiasa diutamakan.

Syed Saddiq bersalaman dengan para pemenang pertandingan sukan. Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

“Ada beberapa penambahbaikan yang kita mahu lakukan sebagai contoh sesi parlimen yang akan datang kita akan turunkan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun dengan kadar transisi 35 hingga 30.

“Ini sangat penting untuk memastikan bantuan-bantuan dikhususkan kepada belia bawah 30 tahun yang selama ini seperti dipinggirkan.

Syed Saddiq bersalaman dengan pihak lawan sebelum perlawanan bola sepak antara Pasukan Kementerian Belia dan Sukan dengan Pasukan Veteran Kunak. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Pada masa yang sama kita mahu pastikan belia yang sudah melepasi umur 30 ini berkhidmat bakti semula dan dijadikan pemimpin masyarakat atau setempat untuk membimbing anak-anak muda yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Karnival Sukan Luar Bandar, di Padang Ladang Mostyn, di sini hari ini.

Syed Saddiq bergambar bersama pemenang pertandingan bola tampar. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr Waitchalla RRV Suppiah.

Dalam pada itu, beliau berkata KBS terus komited dalam memastikan program untuk golongan muda dan veteran di kawasan luar bandar sentiasa aktif khususnya dalam bidang sukan.

Syed Saddiq menerima jersi. Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

Beliau juga berhasrat untuk membuat lawatan sebulan sekali khususnya di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak bagi mencari kawasan-kawasan pembangunan infrastruktur sukan.

“Fokus utama Kementerian Belia dan Sukan adalah untuk menggalakkan penyertaan anak-anak muda serta golongan veteran bergiat aktif dalam sukan dan kita memfokuskan di kawasan luar bandar.

Syed Saddiq berswafoto bersama peminat. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Kita mahu lebih banyak program-program sukan luar bandar seperti yang diadakan pada hari ini dan pembangunan infrastruktur difokuskan kepada kawasan luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak,” katanya. – SabahNewsToday