Pilih Bahasa

Hadiah pemenang Unduk Ngadau dinaikkan

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Jawatankuasa Penganjur Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2019 bersetuju menaikkan jumlah hadiah bagi pertandingan Unduk Ngadau tahun ini.

Pengerusinya merangkap Menteri Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony berkata pemenang Unduk Ngadau akan meraih hadiah wang tunai RM18,000, tempat kedua RM13,000 dan tempat ketiga pula RM10,000.

Peter Anthony (tengah) ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2019 di Dewan JKR, Sembulan. – Gambar SNT

“Pada mesyuarat kali ini kita telah membuat beberapa perubahan iaitu tawaran hadiah pertandingan bagi Unduk Ngadau ditambah selain mempelawa lebih banyak penyertaan etnik daripada pedalaman dan pantai timur Sabah.

“Begitu juga dengan pertandingan Sugandoi, kita memperkenalkan beberapa syarat baharu yang akan kita maklumkan kepada umum,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2019 di Dewan JKR, Sembulan.

Anthony berkata mesyuarat terakhir yang diadakan itu berjalan lancar dengan pelbagai persiapan sedang rancak dilakukan oleh jawatankuasa di peringkat negeri.

Katanya penganjur Pesta Kaamatan di peringkat negeri turut bekerjasama dengan pihak Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) dan para pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili etnik Kadazandusun dan Murut (KDM) di Sabah.

“Persediaan kita sejak awal lagi mungkin sukar tanpa kerjasama semua pihak, justeru saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) selaku Huguan Siou iaitu Tan Sri Joseph Pairin Kitingan atas kerjasama baik beliau.

“Kerjasama dengan KDCA adalah ilham Ketua Menteri supaya di Sabah kita bersatu dalam satu bumbung bila kita merayakan sesuatu perayaan seperti Kaamatan. Ini adalah perayaan tradisi yang kita rayakan turun temurun jadi agenda perbezaan politik harus kita ketepikan,” katanya.

Mengulas lanjut Peter berkata penambahan beberapa acara yang sebelum ini tidak pernah diadakan akan melibatkan kos perbelanjaan yang ditanggung oleh kerajaan negeri.

Sehubungan itu katanya perkara tersebut akan dimaklumkan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk permohonan bagi mendapatkan sejumlah peruntukan tambahan agar Pesta Kaamatan dapat dijayakan sepenuhnya. – SabahNewsToday