Pilih Bahasa

Hajiji, Masidi dan 17 Ketua Bahagian menang tanpa tanding Pemilihan Bersatu Sabah

KOTA KINABALU: Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengekalkan jawatan Ketua Bahagian Bersatu Tuaran apabila tidak dicabar sehingga pencalonan ditutup pada Ahad lalu.

Sesi pencalonan untuk pemilihan parti pada Ahad lalu menyaksikan tiada individu lain yang mengemukakan borang untuk mencabar Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sulaman.

Datuk Hajiji Noor. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

Timbalan Ketua Bersatu Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun juga menang tanpa bertanding sebagai Ketua Bahagian Bersatu Ranau.

Turut menang tanpa bertanding jawatan Ketua Bahagian ialah Setiausaha Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (Beluran), Ketua Penerangan Bersatu Negeri, Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi) dan Bendahari Bersatu Negeri, Datuk Haji Mohd.Arifin Haji Mohd.Arif (Kimanis).

Datuk Masidi Manjun. Gambar Fail SNT

Empatbelas lagi Ketua Bahagian lain juga memang tanpa bertanding ialah Datuk Rahim Bakri (Kudat), Datuk Wetron Bahanda (Kota Marudu), Datuk Japlin Haji Akim (Kota Belud), Mohamed Razali Mohamed Razi (Sepanggar), Datuk Faisyal Yusof Hamdan Diego (Kota Kinabalu), Senator Datuk John Ambrose (Penampang).

Datuk Haji Ghulam Haidar Khan Bahadar (Papar), Datuk Isnin Haji Alisnih (Beaufort), Matbali Musah (Sipitang), Datuk Rubin Balang (Tenom), Azman Ruslan (Keningau), Senator Datuk Abdul Ghani Yassin (Pensiangan), Datuk Awang Kadin Tang (Sandakan) dan Aksyah Nasrah (Kinabatangan).

Datuk Ariffin Arif. Gambar Fail SNT

Sementara enam lagi bahagian lain kebanyakannya menyaksikan pertandingan dua penjuru, kecuali Bahagian Putatan. Bahagian lain ialah Libaran, Semporna, Silam, Tawau dan Kalabakan.

Setiausaha Bersatu Negeri, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata semua 25 bahagian di negeri ini layak mengemuka pencalonan bagi pemilihan yang diadakan buat pertama kalinya.

Khairul Firdaus Akbar Khan. Gambar Fail SNT

Katanya, Ketua Srikandi (KS) Bersatu Sabah, Datuk Hajah Azizah Datuk Seri Panglima Mohd Dun bersama 20 lagi KS mengekalkan jawatan mereka apabila turut tidak dicabar.

“Antara yang menang tanpa bertanding ialah Timbalan KS Bersatu Negeri, Datuk Amisah Yassin (Ranau), Setiausaha SK Negeri, Dato Redonah Bahanda (Kota Marudu), Ketua Penerangan SK Negeri, Mizma Appehdullah (Silam) dan Bendahari SK Negeri, Jamaliah Antalip (Tuaran),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Datuk Azizah Mohd Dun. – Gambar fail SNT

Hanya empat bahagian mencatatkan saingan dua penjuru bagi merebut jawatan KS Bahagian, iaitu Penampang, Tenom, Tawau dan Kalabakan.

Sementara bagi jawatan Ketua Armada (KA) Bersatu Bahagian, 20 KA bahagian berjaya mengekalkan jawatan mereka apabila tidak dicabar.

Antaranya ialah Timbalan KA Negeri, Ceasar Mandela Malakun (KA Bahagian Penampang), Setiausaha Armada Negeri, Azrul Ibrahim (Papar) dan Bendahari Armada Negeri, Ghazali Hajiji (Tuaran).

Datuk Ronald Kiandee. Gambar SNT/Ihsan Wikipedia

Lima KA bahagian lagi wujud saingan yang membabitkan pertembungan dua hingga tiga calon, iaitu Putatan yang diterajui oleh KA Negeri, Isquzawan Israq Datuk Arsit, Beluran, Semporna, Tawau dan Kalabalan.

Ronald Kiandee berkata proses penamaan calon pada Ahad lalu berlangsung dalam keadaan tenang, aman dan lancar.

“Saya harap kelancaran ini dapat diteruskan pada proses berkempen nanti,” katanya.

Mesyuarat Bersatu peringkat cawangan akan dimulakan pada 15 Februari sehingga 29 Mac dan mesyuarat peringkat bahagian pula dijadualkan pada 18 April, manakala Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) pula pada 25 hingga 28 Jun depan.-SabahNewsToday