Pilih Bahasa

HAK DAN STATUS ANAK NEGERI KHAS UNTUK ORANG ASAL SABAH SAHAJA: PEMUDA UPKO

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Ketua Pergerakan Pemuda Upko Felix Joseph Saang menolak sebarang cadangan mengklasifikasikan Bugis dan Jawa sebagai Anak Negeri.

“Ini bukan bermakna kita mengamalkan sikap perkauman. Cuma isu ini ialah sesuatu yang amat sensitif kerana Perlembagaan Persekutuan Perkara 161A jelas menunjukkan bahawa Bugis dan Jawa bukanlah Anak Negeri kerana mereka bukan orang asal Sabah.

Felix Joseph Saang. Gambar Fail SNT

“Secara peribadi, bagi saya Sabah adalah contoh terbaik toleransi tinggi dan hormat menghormati antara pelbagai kaum. Bagaimanapun terdapat hadnya yang kita harus akur,” katanya.

“Kedudukan mereka sama seperti bangsa dari negara lain yang telah berhijrah ke Malaysia.

“Kita bukan mempersoalkan status kewarganegaraan mereka memandangkan ada antara mereka telah berada di sini sejak sebelum pembentukan Malaysia lagi.

“Namun, Pemuda Upko bersetuju dengan presiden kami Datuk Seri Wilfred Madius Tangau bahawa masyarakat Bugis dan Jawa tidak seharusnya diberi status Anak Negeri Sabah. Mereka sebenarnya berasal dari Indonesia,” kata Felix.

Dalam pada itu, katanya seseorang Ketua Anak Negeri harus mempunyai pemahaman dan pengetahuan mendalam tentang adat istiadat anak negeri supaya dapat menjalankan tugas dengan cekap.

Di Semenanjung Malaysia, isu ini tidak timbul memandangkan institusi Mahkamah Anak Negeri hanya ada di Sabah.

“Ianya tidak relevan oleh itu tidak ada keperluan untuk melantik Ketua Anak Negeri dari masyarakat Bugis atau Jawa di Semenanjung Malaysia,” kata Felix.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan mengulas isu status Anak Negeri kepada masyarakat Bugis dan Jawa di Sabah yang terus hangat diperdebatkan.-SabahNewsToday