Pilih Bahasa

HAMID APDAL SOKONG PENUH DATUK PETER ANTHONY TERAJUI SAFA

Oleh Chris Maskilone

Hamid (duduk tengah) bersama dengan Datuk James Wong (duduk kiri), Rosdy Wasli (duduk kanan) dan beberapa ahli Safa dalam sidang akhbar hari ini. Gambar SNT/Zakaria Damit

KOTA KINABALU: Datuk Peter Anthony adalah calon terbaik untuk menerajui dan seterusnya menyelamatkan Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) daripada keadaan genting yang dihadapi sekarang.

Bercakap atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden 1 Safa, Haji Hamid Apdal mengumpamakan perlantikan Peter sebagai “bekalan oksigen yang sampai kepada pesakit di ICU.”

“Beliau telahpun membuat pengumuman di Keningau semalam dan oleh kerana itu saya percaya beliau telah mendapat restu daripada Ketua Menteri,” katanya dalam satu sidang akhbar di kediamannya hari ini.

Semalam, semasa merasmikan pertandingan Liga KDM Malaysia, Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur menyatakan bahawa beliau diberi mandat oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk menerajui Safa.

Peter juga memberi jaminan bahawa tunggakan gaji lima bulan para pemain berjumlah RM6 juta akan dilangsaikan sebelum Hari Krismas.

“Dari segi perlembagaan persatuan ada peruntukan membolehkan seseorang itu dilantik sebagai Presiden Kehormat dan kita menyokong penuh agar beliau dilantik menjadi Presiden Kehormat,” kata Hamid.

Memandangkan Safa kini tidak mempunyai presiden selepas penyandang, Alijus Sipil meletakkan jawatan maka Peter sebagai presiden kehormat boleh menjalankan tugas presiden untuk memanggil mesyuarat, serta memastikan pentadbiran Safa dalam keadaan teratur, katanya.

“Memastikan Safa dalam keadaan teratur termasuk dari segi pembayaran gaji yang tertunggak kepada para pemain sebelum 13 Disember ini amat penting sekali,” katanya.

Sekiranya, Safa terus gagal menyelesaikan terutamanya kemelut kewangan mereka, besar kemungkinan skuad Badak tidak akan dibenarkan beraksi dalam Liga Malaysia musim hadapan.

Mengenai status beliau setelah menghantar surat perletakan jawatan beberapa hari selepas menang pemilihan dalam kongres Safa pada Ogos lalu, Hamid berkata perletakan jawatannya itu telah ditolak oleh jawatankuasa Safa.

“Sehingga kini saya juga tiada menerima apa-apa surat penerimaan perletakan jawatan daripada Safa.

“Oleh itu apabila perkara mengenai perlantikan Datuk Peter Anthony timbul maka saya terpanggil untuk menyatakan sokongan penuh saya bagi beliau menerajui Safa,” katanya.

Hamid berkata semua tindakan yang diambil sekarang haruslah menjurus kepada pemulihan Safa agar pasukan bola sepak negeri dapat menghadapi musim baharu dengan penuh keyakinan.-SabahNewsToday