Pilih Bahasa

Hampir 100 aduan merokok di premis makanan diterima sejak awal tahun

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Hampir 100 aduan berkaitan merokok di premis makanan sekitar bandar raya diterima sejak larangan dilaksanakan awal tahun ini.

Pegawai Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu, Dr Julaidah Sharip berkata jumlah aduan berkenaan menunjukkan sudah wujudnya kesedaran dalam kalangan orang awam mengenai penguatkuasaan peraturan termasuklah larangan merokok di premis makanan.

Noorliza menyampaikan poster Dilarang Merokok kepada tuan punya premis makanan dan minuman di Jalan Gaya. Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

Julaidah berkata setakat ini sudah banyak kedai makan di bandar raya mengikuti peraturan ditetapkan kementerian termasuklah mempamerkan poster larangan merokok di premis perniagaan masing-masing.

“Setiap aduan diterima, kita akan menghubungi pengadu bagi memastikan lokasi, masa dan perkara yang berlaku sebelum pegawai bertugas melawat ke kedai makanan yang dimaklumkan berkenaan untuk pengesahan.

“Walaupun masih ada pelanggan yang merokok dalam premis tetapi mereka akur apabila diberi taguran,” katanya.

Beliau berkata demikian ditemui selepas Program Walk About Larangan Merokok Ditempat Awam di Jalan Gaya, di sini, hari ini.

Salah satu objektif penganjuran program berkenaan adalah bagi meningkatkan kesedaran orang awam berkaitan pewartaan tempat makan awam sebagai kawasan larangan merokok selain menjelaskan kepada pengusaha kedai makan mengenai tanggungjawab dalam memastikan tiada individu merokok di premis masing-masing.

Turut diedarkan poster larangan merokok kepada restoran atau kedai sekitar kawasan Jalan Gaya.

Noorliza (tengah) dan Dr Julaidah (kanan) memberi serba sedikit taklimat semasa menyampaikan poster kepada pemilik premis makanan. Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

Dalam pada itu, Julaidah berkata pihaknya mendapati sudah banyak restoran mempamerkan poster larangan merokok di tempat mudah dilihat oleh pelanggan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Operasi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Noorliza Awang Alip berkata pihaknya sentiasa membantu jabatan kesihatan bandar raya untuk menasihatkan pemilik atau pengusaha kedai makanan berkaitan larangan merokok terbabit.

Penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan akan dikuatkuasakan sepenuhnya pada tahun hadapan.-SabahNews Today