Pilih Bahasa

Hampir dua bulan tidak jumpa anak

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: “Saya mahu cepat sampai ke kampung untuk memeluk anak.

“Sudah hampir dua bulan tidak dapat bertemunya kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Norhafizah Bakal, 31.

Pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Norhafizah Bakal ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarbangsa Kota Kinabalu (LTAKK). Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Ibu kepada seorang cahaya mata perempuan berusia satu tahun dua itu berkata perit serta sedih kerana terpisah lama dengan anak namun sedar keadaan ketika itu terbatas untuk pulang ke Sabah.

Mengambil Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak secara pendidikan jarak jauh (PJJ) dan baru memasuki semester pertama pada Februari lalu, Norhafizah yang baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) hari ini sepatutnya dijadualkan balik ke Sabah pada 29 Mac lalu.

Dua pelajar melihat proses pengambilan sampel semasa saringan Covid-19 dijalankan oleh petugas JKNS terhadap pelajar Sabah yang baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Saya dan beberapa rakan-rakan hendak memulakan kelas dan sepatutnya kami perlu menduduki peperiksaan sewaktu PKP dilaksanakan namun semuanya telah ditunda.

“Apabila PKP dikuatkuasakan, saya mengambil keputusan untuk balik ke rumah suami berikutan dia bertugas sebagai kakitangan perhilitan di Kedah dan secara kebetulan ada rakan sekampus yang mahu pulang ke negeri sama,” katanya bertugas di Tadika Kemas dalam daerah Kota Marudu.

Norhafizah berkata dia kembali semula ke kampus pada 29 April dan meneruskan kuarantin di dalam universiti sehingga mendapat makluman boleh pulang ke negeri masing-masing.

Pembantu perubatan melakukan persediaan sebelum memulakan kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Menurutnya, pihak UPSI ada menyediakan penerbangan tetapi dia memilih membeli tiket secara pribadi kerana hendak sampai ke Sabah lebih awal.

“Selain rindukan anak, saya juga rindu dengan keluarga di Sabah dan mahu menyambut Ramadan bersama mereka.

“Bagaimanapun, saya bersyukur tidak perlu dikuarantin di pusat kuarantin selama dua minggu dan hanya diarahkan kuarantin di rumah masing-masing sahaja,” katanya.

Seorang pelajar diambil sampel semasa saringan Covid-19 dijalankan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Sementara itu, ditanya mengenai sambutan Ramadan serta persediaan Syawal tahun ini, Norhafizah memaklumkan semuanya disambut sederhana sahaja memandangkan situasi negara masih dalam wabak Covid-19.

“Suami juga tidak pasti samaada dapat balik beraya di Sabah atau sebaliknya tetapi pastinya suasana raya tahun ni akan sangat berbeza jika mahu dibandingkan dengan tahun lepas,” ujarnya. -SabahNewsToday