Pilih Bahasa

Hanya 60 peratus kakitangan K’jaan Negeri diperlukan ke pejabat sehingga 9 Jun

Oleh Sabah News Today

KOTA KINABALU: Perkhidmatan awam Kerajaan Negeri mula beroperasi seperti biasa pada 13 Mei dengan sekurang-kurangnya 60 peratus kehadiran sehingga 9 Jun ini.

Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong, 40 peratus lagi daripada kakitangan akan bekerja dari rumah.

Datuk Safar Untong. Gambar Fail SNT

Kuasa menentukan jadual pengiliran kakitangan yang perlu hadir ke pejabat atau bekerja dari rumah diberi kepada ketua-ketua jabatan dan agensi kementerian negeri, badan berkanun negeri serta pihak berkuasa tempatan.

Menurutnya, penjadualan kerja hendaklah mengambilkira kebajikan dan keselamatan kakitangan.

Dalam satu kenyataan di sini, Safar yang juga pengerusi Sabah Covid-19 Command Centre (SC19CC) berkata penggunaan aplikasi atas talian adalah digalakkan dan diperluaskan untuk meminimakan kehadiran pelanggan di kaunter dan pejabat kerajaan.

Ini adalah selaras dengan keputusan Kerajaan Negeri melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Tahap 6, katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri melalui SC19CC memutuskan operasi perkhidmatan awam negeri akan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia dan juga SOP Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah.

“Keputusan ini dibuat untuk memastikan perkhidmatan kerajaan negeri berada di tahap yang cekap dan berkesan,” katanya.

“Walau bagaimanapun, Ketua Jabatan boleh mengeluarkan arahan bekerja kepada mana-mana kakitangan di bawah jagaan masing-masing yang bersesuaian dengan keperluan perkhidmatan kerajaan dari semasa ke semasa,” katanya.

Safar turut mengingatkan ketua-ketua agensi kerajaan negeri untuk memastikan bahawa semua SOP keselamatan dan kesihatan dipatuhi sepenuhnya oleh kakitangan masing-masing bagi memastikan tidak berlaku penularan Covid-19 di tempat kerja.-SabahNewsToday